NBI memanfaatkan siswa, usahawan tempatan - UMK | DagangNews Skip to main content

NBI memanfaatkan siswa, usahawan tempatan - UMK

KUALA LUMPUR 6 Julai - Perancangan penuhuban National Business Incubator (NBI) oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dijangka memberi manfaat kepada seluruh warga kampus termasuk usahawan tempatan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Noor Azizi Ismail berkata, UMK yakin dan mampu menjadi peneraju kepada agenda keusahawanan bukan hanya di peringkat kampus tetapi di peringkat nasional bebekalkan kepakaran dan hasil kerjasama industri yang ada.

"NBI akan dijadikan sebagai makmal, pusat bimbingan dan ruang kerja bagi tujuan percambahan idea inovatif untuk penghasilan produk yang boleh dikomersialkan hingga ke luar negara.

"Sehingga kini UMK mempunyai lapan inkubator yang bersifat program asas, inovasi, perniagaan dan pengkomersialan yang dapat menyokong aktiviti keusahawanan pelajar agar dapat diuruskan dengan baik dan lebih bersistematik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azizi memberitahu, NBI juga akan dibangunkan sebagai ruang kerja bersama bagi syarikat, pelajar dan alumni UMK, ruang perbincangan dan platform bagi usahawan untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam proses membangunkan produk yang mempunyai nilai di pasaran.

"Menerusi komitmen tinggi dan kerja keras daripada semua pihak, saya yakin impian untuk merealisasikan UMK sebagai universiti keusahawan yang tersohor di rantau ini dapat direalisasikan. - DagangNews.com