NEF desak kerajaan sokong syarikat ICT tempatan | DagangNews Skip to main content

NEF desak kerajaan sokong syarikat ICT tempatan

KUALA LUMPUR 7 Julai - Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputra Malaysia (NEF) mendesak kerajaan agar memberi sokongan kepada syarikat ICT tempatan berbanding syarikat asing bagi memacu kemajuan ekonomi negara.

Presidennya, Khairil Iszuddin Ismail berkata, setelah sekian lama perolehan dan projek berskala besar dianugerahkan kepada syarikat asing serta polisi kerajaan yang sedia ada juga tidak memihak kepada produk dan solusi syarikat tempatan.

Khairil Iszuddin Ismail
Khairil Iszuddin Ismail

"Situasi ini telah lama kami perhatikan. Adalah tidak wajar syarikat luar dengan modal besar mendapat manfaat daripada wang kerajaan dan wang cukai rakyat untuk kemajuan mereka, sedangkan syarikat tempatan bertarung nyawa dan terpaksa bersaing dengan modal terhad.

"Ada juga pihak yang membawa pesaing luar untuk bertapak di Malaysia dan membunuh syarikat tempatan. Lebih sedih apabila perkara ini disokong oleh kerajaan atau bersandarkan sokongan politik," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kontrak membina aplikasi MySejahtera untuk pengesanan kontak COVID-19 diberi kepada syarikat KPISoft Inc daripada Amerika Syarikat dan mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura.

Selain itu, penubuhan laman web Digital Education Learning Initiative Malaysian (DELIMa) yang dilancarkan KPM pula langsung tidak mengetengahkan kandungan digital tempatan. 

Manakala projek MyFutureJobs di bawah Penjana yang diperkenalkan PERKESO turut mengguna pakai kepakaran dari Netherland sekali gus mengetepikan pembangunan teknologi e-dagang tempatan seperti yang disuarakan Persatuan PKS Malaysia.

Jelas Khairil lagi, pihaknya mengakui kebolehan syarikat tempatan yang ada serta mempunyai solusi inovasi tinggi yang mampu mendapat projek berskala besar kerajaan.

"Ini sepatutnya menjadi dasar kerajaan untuk membantu syarikat tempatan dan bangunkan ekonomi negara sekali gus memberi peluang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com