NEF kemuka cadangan, projek elak dipinggir kerajaan | DagangNews Skip to main content

NEF kemuka cadangan, projek elak dipinggir kerajaan

KUALA LUMPUR 7 Julai - Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputra Malaysia (NEF) tampil mengemukakan beberapa cadangan dan perojek penting yang harus diteliti pihak kerajaan agar syarikat ICT tempatan tidak lagi dipinggirkan.

Presidennya, Khairil Iszuddin Ismail menyenaraikan beberapa cadangan seperti berikut;

  • Membuat proses ketelitian wajar (due diligence) yang lebih menyeluruh dalam proses perolehan supaya pemilik syarikat induk (parent company) yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia diberi keutamaan.
  • Membuat proses libat urus bersama syarikat-syarikat tempatan
  • dari fasa awal dalam pembinaan dan penghasilan produk dan solusi untuk orang awam.
  • Menggubal satu dasar formal untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan dalam perolehan dan pembangunan projek berasaskan ICT.
  • Menggubal satu dasar formal untuk penggunaan perisian sumber terbuka (open source) dalam kerajaan bagi membantu pembangunan bakat-bakat ICT dalam negara.


Jelas Khairil, projek dan inisiatif syarikat tempatan dalam membantu kerajaan serta keperluan awam juga harus diketengahkan sekali gus dapat membuktikan keupayaan mereka untuk menyumbang tenaga dalam projek komuniti.

Khairil Iszuddin Ismail
Khairil Iszuddin Ismail

 

Antara projek dan inisiatif yang perlu diketengahkan adalah seperti berikut;

  • CoronaTracker yang telah dibangunkan secara crowdsourcing dan sukarela oleh pembangun tempatan tanpa sebarang imbuhan
  • MyBanjir yang juga telah dibangunkan secara crowdsourcing dan sukarela oleh pembangun tempatan tanpa sebarang imbuhan bagi membantu isu banjir di Kuala Krai suatu ketika dahulu
  • DATA8 Sdn. Bhd. dengan pantas dan sukarela membantu membangunkan sistem rekod saringan COVID-19 untuk kegunaan di Hospital Sungai Buloh
  • Datang.my yang dibangunkan penuntut UNITEN dengan perhatian tinggi kepada privasi menyumbangkan sistem tersebut secara percuma untuk kegunaan sekolah yang dapat merekodkan kehadiran dalam era COVID-19
  • Pandai App yang dicipta bagi kegunaan pelajar di Malaysia untuk membantu pembelajaran di sekolah rendah dan menengah
  • BuKom CaknaAutisma yang dibangunkan sebagai buku rekod digital perkembangan anak-anak autisma untuk kegunaan di Genius Permata dibangunkan dengan sumbangan ibu bapa dan orang awam. - DagangNews.com