Negara catat peningkatan hasil 8.9% kepada RM210.4 bilion setakat Nov 2021 | DagangNews Skip to main content

Negara catat peningkatan hasil 8.9% kepada RM210.4 bilion setakat Nov 2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat FPC di Parlimen hari ini. Antara yang hadir ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuli Ali (kiri).

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

PUTRAJAYA 13 Dis - Kutipan hasil negara mencatatkan peningkatan 8.9% kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9% kepada RM307.6 bilion, sehingga akhir November 2021, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) berkata,  FPC berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada KDNK akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

 

Perdana Menteri berkata, berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK.

 

Menurutnya, inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.

 

''Perancangan Fiskal Dalam Jangka Sederhana dan Inisiatif Pembaharuan Fiskal Dalam jangka sederhana, Kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu 3.5% berbanding KDNK pada 2025.

 

''Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID19 melanda negara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Melangkah ke hadapan kata Perdana Menteri, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMKe-12.

 

''Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

 

``Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan,'' kata Ismail Sabri.

 

Mesyuarat FPC di Parlimen hari ini merupakan persidangan yang kali ketiga dan telah dihadiri oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuli Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. - DagangNews.com