Nestle catat keuntungan bersih 4QFY21 lebih rendah akibat harga komoditi tinggi | DagangNews Skip to main content

Nestle catat keuntungan bersih 4QFY21 lebih rendah akibat harga komoditi tinggi

KUALA LUMPUR 22 Feb - Nestle (Malaysia) Berhad mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi 4QFY21 iaitu sebanyak RM112.1 juta berbanding RM132.49 juta bagi tempoh sama untuk tahun sebelumnya akibat kesan harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang kekal tinggi pada suku tersebut.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan itu turut dipengaruhi oleh kos hanya sekali yang ditanggung akibat banjir termasuk bantuan kewangan kepada pekerja yang terjejas, kos untuk membaiki atau menghapus kira kenderaan yang rosak dan aset perdagangan serta sumbangan kepada komuniti yang terjejas di Lembah Klang.

 

Perolehannya pada suku tersebut bagaimanapun adalah lebih tinggi sebanyak 7.1% kepada RM1.47 bilion, didorong oleh jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi, masing-masing meningkat sebanyak 6% dan 10.8% manakala pendapatan asas sesaham susut kepada 47.81 sen berbanding 56.50 sen sebelum ini.

 

"Ketidaktentuan yang berterusan dijangka berlaku apabila pandemik beralih kepada fasa endemik manakala varian baharu kekal sebagai faktor risiko jangka pendek global dan rantaian bekalan global akan terus terjejas. 

 

"Tahun depan akan kekal mencabar termasuk peningkatan kos komoditi makanan, ia boleh menyebabkan kenaikan harga.

 

"Kami memulakan tahun ini dengan peralihan 100% penggunaan elektrik boleh diperbaharui untuk semua operasi kami di Malaysia, membolehkan kami mengurangkan pelepasan sebanyak 75,000 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun," katanya.

 

Pada masa sama, keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021, meningkat kepada RM569.81 juta daripada RM552.71 juta akibat kecekapan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih tinggi.

 

Perolehannya meningkat 5.9% kepada RM5.73 bilion daripada RM5.41 bilion sebelumnya, didorong oleh jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi, masing-masing meningkat 6.2% dan 5%.

 

Syarikat itu telah mencadangkan dividen interim ketiga sebanyak 102 sen sesaham yang akan dibayar pada 19 Mei, 2022. - DagangNews.com