Newbie saham lebih gemar beli saham ikut Buy Call | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
CIKGU SAHAM - 6 April 2021

NEWBIE SAHAM LEBIH GEMAR BELI SAHAM IKUT BUY CALL

 

TIDAK dinafikan orang-orang yang baharu melibatkan diri dalam dunia saham sama ada yang tidak mempunyai ilmu tentang pelaburan saham secara asas mahupun yang telah menghadiri pelbagai kelas pendidikan pelaburan saham Bursa Malaysia masih ingin diberikan tips atau saranan membeli (buy call).

 

Ini disebabkan ia merupakan satu jalan pintas untuk memperoleh keuntungan tanpa perlu bersusah-payah membuat analisis saham-saham berpotensi. Juga, ia disebabkan kekangan masa yang menghalang newbie untuk memperuntukkan masa membuat kajian saham yang kadang-kala mengambil masa yang agak lama bagi orang-orang yang belum mahir selok-belok pasaran. 

 

Mengapa mereka ini ingin mendapatkan tips saham?. 

 

  • Tidak perlu menghabiskan banyak wang menghadiri kelas atau ceramah saham. Jimat masa, tenaga dan wang ringgit.

  • Tidak perlu bersusah-payah untuk membuat analisis saham. Tidak perlu mengambil cuti bagi yang tinggal berjauhan dari tempat seminar diadakan (kelas atau seminar bersemuka).

  • Tidak perlu meluangkan banyak masa untuk membaca atau mengikuti perkembangan atau berita pasaran.

  • Tidak perlu memperuntukkan banyak masa melihat skrin komputer memerhatikan pergerakan turun naik pasaran.

  • Tidak yakin dengan diri sendiri atau ilmu yang telah dipelajari dalam membuat kajian saham.

 

Sebelum Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan amaran secara umum yang ditujukan khas kepada kumpulan-kumpulan saham yang giat memberi buy call, boleh dikatakan kumpulan-kumpulan saham di Facebook, Telegram dan WhatsApp amat popular sehinggakan keahlian mencecah puluhan ribu orang.

 

cikgusaham

 

Pengendali kumpulan-kumpulan ini selain dari giat menjalankan kegiatan memberi pendidikan saham juga aktif memberi senarai saham-saham berpotensi, mengadakan siaran langsung di media sosial Facebook serta memberi komentar tentang saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia termasuk juga arah tuju pasaran kepada umum.

 

Dengan iklan-iklan pemasaran yang menawarkan khidmat sokongan di dalam kumpulan-kumpulan tertentu yang menjadikan orang awam tertarik menyertainya lebih-lebih lagi dengan mempamerkan keuntungan-keuntungan yang dibuat oleh ahli-ahli yang menyertai kumpulan tersebut berjaya menarik ramai orang menyertai mereka.

 

Dengan mengikuti saranan membeli, newbie merasa selesa kerana mereka tidak tidak mahir meramal turun naik pasaran apatah lagi untuk memilih saham-saham berpotensi. 

 

Sungguhpun pelabur dan pedagang saham tersebut kadang-kala tidak dapat membuat keuntungan atau dengan kata mudah mendapat kerugian setelah mengikuti saranan-saranan membeli ini, mereka sesekali tidak akan menyalahkan pihak-pihak yang memberi tips kerana mereka telah diingatkan bahawa segala tindakan adalah di bawah tanggungan sendiri dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak yang memberikan tips tersebut.

 

Ini disebabkan mereka awal-awal lagi diingatkan bahawa pelaburan saham ini tidak menjanjikan 100% keuntungan apabila seseorang itu memasuki pasaran. Maka, sekiranya mereka mengalami kerugian dengan menyertai sesuatu kumpulan saham media sosial, mereka akan meneruskan pencarian kumpulan-kumpulan yang lain.

 

Selain dari itu, kebanyakan pelabur dan pedagang newbie beranggapan bahawa melabur saham itu mudah. Terlalu mudah dan tidak memerlukan modal yang banyak seperti yang dicanangkan oleh sesetengah orang.

 

Walaupun pelabur boleh membeli saham dengan modal yang kecil, kadang-kala ia tidak praktikal tatkala pasaran mengalami aliran menurun yang lama. Terdapat juga keadaan yang mana sesuatu saham itu naik dan turun dalam jajaran yang kecil. Maka pelabur atau pedagang saham agak sukar untuk menjualnya disebabkan perbezaan harga yang kecil kerana membeli dalam unit yang kecil.

 

Dengan mempunyai modal yang terlalu kecil, kebiasaannya pelabur dan pedagang newbie ini cenderung untuk membeli saham-saham yang harganya terlalu murah. Sesetengah pelabur dan pedagang saham baharu tidak mempunyai pengetahuan asas tentang pasaran. Terdapat juga yang membeli waran syarikat yang hampir tamat tempoh penyenaraian atau saham-saham yang berisiko.

 

Contohnya, mereka membeli waran yang hampir tamat tempoh penyenaraian, membeli saham berstruktur tanpa mengetahui formula pengiraan atau membeli saham bertanda walaupun ada yang telah diistiharkan akan tamat tempoh penyenaraian di papan Bursa Malaysia. Akibatnya, tindakan ini akan menjurus kepada kerugian yang sepatutnya boleh dielakkan.

 

 

cikgusaham

 

 

Pelabur dan pedagang saham baharu juga beranggapan bahawa apabila mereka membeli sesuatu saham syarikat sama ada untuk tempoh pegangan yang singkat atau panjang, saham yang dibeli itu akan terus naik sejurus mereka membeli. Perkataan melabur itu sendiri memberi gambaran bahawa beli dan simpan dan tunggu sehingga harga saham tersebut naik dan memberikan pulangan.

 

Terdapat juga sesetengah newbie yang tidak boleh menerima hakikat harga saham jatuh atau pasaran akan mengalami aliran menurun. Ramai orang akan menjadi marah dan beremosi bila membicarakan tentang kejatuhan pasaran saham.

 

Dari segi strategi untuk menarik minat orang ramai menceburi bidang pelaburan saham, pengiklanan yang menjanjikan keuntungan atau memberi harapan kepada orang ramai lebih digemari berbanding pengiklanan yang memberitahu risiko-risiko atau menceritakan tentang kejatuhan pasaran saham.

 

Faktor menyumbang kepada kerugian di dalam pelaburan ialah apabila seseorang pelabur dan pedagang saham itu tidak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang lama semasa membuat pelaburan atau urus niaga saham.

 

Pelabur dan pedagang saham baharu perlu dibimbing dan diberi panduan apabila pertama kali menceburi bidang saham dalam tempoh yang agak lama untuk mengelakkan mereka membuat kesilapan dalam bidang yang baharu diceburi.

 

Cikgu Saham Zuraida juga merupakan penulis buku saham "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Kepada yang berminat boleh dapatkan buku ini dengan hubungi talian 017-3084787.

 

KOLEKSI CIKGU SAHAM:

Belajar ilmu berjual beli saham dengan individu bertauliah

2 TAHUN BELAJAR SAHAM DENGAN GURU YANG SAMA

Tidak susah hendak memahami kaedah dagangan kontra saham 

Waspada jangan gelojoh - peringatan kepada newbie saham

Panduan untuk kawal emosi semasa berurus niaga saham

SERBA TAK KENA BILA BERJUAL BELI SAHAM

Jangan panik semasa bursa tidak menentu

Dagangan tinggi tidak semestinya bermakna saham akan naik juga

Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?

 

 

 

 

 

Portfolio Tags