Nexia terima kebenaran KPMG semak fail Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Nexia terima kebenaran KPMG semak fail Serba Dinamik

SHAH ALAM 4 Ogos – Serba Dinamik Holdings Berhad memaklumkan firma audit yang dilantiknya, Nexis SSY PLT telah menerima kebenaran KPMG PLT untuk meneliti auditnya ke atas syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu.

 

“Ia adalah selaras dengan Seksyen 320 seperti perundangan yang dipatuhi Institut Akauntan Malaysia,” kata syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

“Lembaga Pengarah juga mengumumkan bahawa Nexia yang telah menyatakan secara bertulis hasrat mereka untuk menjadi auditor kepada Serba Dinamik bertarikh 3 Ogos lalu, telah dilantik sebagai Auditor Statutori bagi syarikat ini,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Illyas Mohamed berkata, kebenaran profesional itu adalah bukti bahawa Lembaga Pengarah, termasuk jawatankuasa audit dan risiko adalah komited untuk memastikan pencalonan Nexia SSY adalah berdasarkan objektiviti dan kebebasan serta prestasi baik juruaudit luaran. 


“Yakinlah bahawa kami tidak mengambil jalan pintas untuk melantik mana-mana auditor yang tidak dikenali, seperti didakwa oleh sesetengah pihak," kata beliau.

 

Minggu lalu, Lembaga Pengarah Serba Dinamik mengumumkan pencalonan Nexia SSY PLT bagi mengisi tempat kosong sebagai auditor statutori baharu, sejajar dengan Akta Syarikat 2016 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

KPMG PLT (KPMG) telah meletakkan jawatan sebagai pengaudit luar Serba Dinamik Holdings Berhad mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016 pada 26 Jun lalu.

 

Ini selepas Serba Dinamik menerima notis daripada firma audit berkenaan semalam, menurut syarikat minyak dan gas itu dalam maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

Dalam notis berkenaan, KPMG menyatakan bahawa saman yang difaikan oleh syarikat pada 22 Jun 2021 terhadap mereka berhubung audit berkanun ke atas tempoh kewangan syarikat berakhir 30 Jun 2021 telah menjejaskan kemampuan mereka untuk meneruskan penglibatan audit dan melepaskan tugas profesional mereka sebagai juruaudit syarikat.

 

Serba Dinamik menyaman firma audit KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkan syarikat menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran. – DagangNews.com