Niaga hadapan MSM dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan | DagangNews Skip to main content

Niaga hadapan MSM dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung minggu depan

Pergerakan harga pada minggu depan dijangka berada antara RM3,100 dan RM3,300 satu tan.

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung.

 

Peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata stok dijangka kekal tinggi di Malaysia berikutan harga eksport Indonesia yang lebih rendah.

 

“Oleh itu, pergerakan harga pada minggu depan dijangka berada antara RM3,100 dan RM3,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

 

Indonesia cuba mengurangkan inventori mereka yang tinggi dengan mengecualikan levi eksportnya, berkuat kuasa 15 Julai hingga 31 Ogos 2022.

 

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng menjangka harga niaga hadapan diniagakan dengan kecenderungan penurunan berdasarkan jangkaan pengeluaran dan paras stok yang tinggi menjelang laporan tanaman utama yang akan dikeluarkan pada minggu depan.

 

Bagi minggu dagangan baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya rendah, berikutan persaingan yang kuat daripada harga eksport Indonesia yang rendah dan kebimbangan mengenai inventori yang tinggi dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

 

Menurut CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, pengeluaran MSM Malaysia dijangka meningkat sebanyak 2.8 peratus bulan ke bulan dan 4.3 peratus tahun ke tahun kepada 1.59 juta tan pada Julai 2022.

 

Katanya stok minyak sawit Malaysia dijangka meningkat sebanyak 9.8 peratus bulan ke bulan kepada 1.82 juta tan sehingga akhir Julai 2022, sebahagian besarnya berikutan pengeluaran yang tinggi.

 

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, bulan semerta Ogos 2022 merosot RM10 kepada RM4,020 satu tan, September 2022 berkurangan RM36 kepada RM3,923 satu tan dan Oktober 2022 susut RM79 kepada RM3,878 satu tan.

 

November 2022 merosot RM100 kepada RM3,879 satu tan, Disember 2022 berkurangan RM66 kepada RM3,913 satu tan dan Januari 2023 susut RM123 kepada RM3,966 satu tan.

 

Jumlah dagangan meningkat kepada 336,919  lot daripada 295,872  lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 195,371 kontrak daripada 215,234 kontrak sebelum ini.

 

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan meningkat sebanyak RM50 kepada RM4,050 satu tan. - DagangNews.com