Nik Amlizan lepaskan jawatan di Boustead | DagangNews Skip to main content

Nik Amlizan lepaskan jawatan di Boustead

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Susulan perletakan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 30 September lalu, Nik Amlizan Mohamed juga melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Boustead Holdings Bhd.

Beliau melepaskan jawatan pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif Boustead berkuat kuasa 5 Oktober untuk `melakukan minat yang lain', menurut laporan syarikat kepada Bursa Malaysia.

Nik Amlizan mengambil alih pengurusan kanan LTAT pada September 2018, menggantikan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Sebelum itu, beliau merupakan ketua pegawai pelabuan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP selama 11 tahun.

Nik Amlizan dilantik sebagai pengarah di Boustead pada 1 November 2018.

Desas-desus pasaran antara lain mengatakan rancangan pengurusan LTAT untuk menyahsenaraikan Boustead itu tidak akan diteruskan berikutan pengunduran Nik Amlizan. 

Perkembangan tersebut juga dilihat berkait rapat dengan pengumuman yang terpaksa dibuat oleh Boustead pada 25 September lalu, berhubung langkah tersebut.

Dalam kenyataan notis media itu, Boustead menyatakan kenyataan tersebut tidak bermaksud wujud hasrat teguh LTAT untuk melaksanakan cadangan berkenaan dan juga tiada kepastian bagi LTAT untuk meneruskannya pun. - DagangNews.com