Nilai pelaburan berganda, Bursa Malaysia dijangka untung RM104 juta | DagangNews Skip to main content

Nilai pelaburan berganda, Bursa Malaysia dijangka untung RM104 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 April - Berdasarkan simulasi yang dibuat oleh CGS-CIMB Research, firma penyelidikan itu menjangkakan Bursa Malaysia Berhad bakal mencatatkan keuntungan bersih RM104.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21). 

 

Ini sekaligus menyaksikan unjuran 61.3% pertumbuhan berbanding tempoh sama pada tahun lalu, namun menyusut 0.4% bagi perbandingan suku ke suku (q-o-q), menurut penganalisis di CGS-CIMB, Winson Ng.

 

Sebagai rekod, Bursa Malaysia merancang untuk mengumumkan prestasi kewangan 1Q21 kumpulan menjelang 27 April ini. 

 

“Unjuran keuntungan bersih 1Q21 bagi Bursa Malaysia berdasarkan beberapa andaian iaitu 1) pendapatan ekuiti berkembang 100% tahun ke tahun (y-o-y), serupa dengan peningkatan y-o-y dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi pasaran ekuiti pada 1Q21.

 

“2) Penurunan 6.2% y-o-y dalam pendapatan derivatif, selari dengan penyusutan y-o-y dalam purata kontrak harian (ADC) bagi pendapatan derivatif pada 1Q21.

 

“... dan 3) peningkatan 42% dalam kos operasi, hampir dengan kadar pertumbuhan pada 4Q20,” jelas Ng dalam sebuah nota kajiannya hari ini.

 

Namun, Ng mengingatkan bahawa ramalan itu dibuat berdasarkan jangkaan keuntungan bersih lebih lemah yang bakal dicatatkan Bursa Malaysia pada separuh kedua 2021 (2H21) dengan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan atau ditarik semula.

 

Tambah Ng, ADTV bagi pasaran ekuiti melonjak dua kali ganda y-o-y dan meningkat 4% q-o-q kepada RM5.17 bilion pada 1Q21, berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh CGS-CIMB.

 

Bagi pasaran derivatif pula, ADC menyusut 6.2%, namun kata Ng, firmanya melihat ini sebagai prestasi kukuh yang merupakan rekod kedua tertinggi sejak 1Q08.

 

Walaupun ADTV dalam pasaran ekuiti dijangka kukuh pada FY21, namun CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM9.18.

 

“Kami lebih memilih Public Bank Berhad bagi pendedahan kepada sektor perkhidmatan kewangan di Malaysia,” ujar Ng lanjut. 

 

Setakat 4.08 petang, nilai saham Bursa Malaysia menyusut 6 sen kepada RM8.44. - DagangNews.com