Nora Junita kini CFO baharu MDEC | DagangNews Skip to main content

Nora Junita kini CFO baharu MDEC

 

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melantik Nora Junita Mohd. Hussaini sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin berkata, Nora Junita mempunyai rekod prestasi baik dalam pengurusan kewangan dan kemampuan yang diperlukan untuk mentadbir sumber kewangan daripada strategi hingga pelaksanaan.

 

"Kualiti dan pengalaman ini tentunya sesuatu yang kita perlukan untuk memenuhi visi pertama digital negara, secara progresif dan dinilai dengan baik," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Nora Junita akan menyumbang kepada strategi perniagaan dan hala tuju kewangan di samping program yang selaras dengan keseluruhan objektif strategi nasional MDEC.

 

Dengan memanfaatkan pengalamannya dalam bidang kewangan dan pengurusan perniagaan, Nora Junita akan bekerjasama dengan pasukan MDEC untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan. 

 

Ini juga akan memberi kesan terhadap keberkesanan operasi dalam sebahagian besar fungsi.

 

Nora Junita merupakan felo akauntan bertauliah dengan Institute of Chartered Accountants in England and Wales dan ahli Institut Akauntan Malaysia. 

 

Beliau juga memiliki pengalaman sebagai pengarah dengan syarikat persendiran berhad dan merupakan ahli Institut Pengarah Korporat Malaysia dan Lead Women. - DagangNews.com