Norliza Kamaruddin dilantik anggotai Lembaga Pengarah BAT Malaysia | DagangNews Skip to main content

Norliza Kamaruddin dilantik anggotai Lembaga Pengarah BAT Malaysia

 

KUALA LUMPUR 8 Mei - British American Tobacco Malaysia Bhd (BAT Malaysia) mengumumkan pelantikan Norliza Kamaruddin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif syarikat, berkuatkuasa 30 April lalu.

 

Norliza, yang merupakan pakar komunikasi memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun di Malaysia dan negara lain, dianggap bakal memberi kelebihan besar kepada syarikat multinasional itu.

 

Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkat, pengalaman luas dan set kemahiran dimiliki Norliza bakal menjadi aset yang tidak ternilai kepada Lembaga Pengarah BAT Malaysia.

 

"Di samping kepimpinan dan tugas fidusiari beliau sebagai anggota Lembaga Pengarah, kami juga mengharapkan pengalaman Norliza di dalam bidang kelestarian dan komunikasi bagi membantu kami menyampaikan matlamat korporat kami `Esok Yang Lebih Gemilang'," katanya dalam kenyataan media.

 

Norliza merupakan pengarah urusan FTI Consulting Malaysia Sdn Bhd, sebuah firma perundingan perniagaan global tersenarai awam berpusat di Amerika Syarikat.

 

Selain itu, Norliza juga merupakan profesor adjung bagi komunikasi strategik di Multimedia University Malaysia.

 

Sementara itu mengulas mengenai pelantikannya, Norliza berkata ia merupakan satu penghormatan baginya dilantik ke Lembaga Pengarah syarikat.

 

"Saya mendapat inspirasi daripada rekod prestasi cemerlang syarikat di dalam tadbir urus selain menjadi majikan peneraju dengan pelbagai anugerah dan pengiktirafan bagi pembangunan bakat serta inisiatif bagi wanita di dalam tenaga kerja," ujarnya.

 

"Bersama-sama dengan anggota Lembaga Pengarah lain, saya akan bekerja untuk menyumbang kepada matlamat kami iaitu `Esok Yang Lebih Gemilang'," kata beliau. - DagangNews.com