NSP 2030: Sektor angkasa sasar sumbang RM3.2 bilion dalam KDNK | DagangNews Skip to main content

NSP 2030: Sektor angkasa sasar sumbang RM3.2 bilion dalam KDNK

Malaysia

KUALA LUMPUR 21 April - Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) melalui Dasar Angkasa Negara (NSP) 2030 menyasarkan untuk menyumbang kira-kira 0.3% atau RM3.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor angkasa.

 

Ketua Pengarahnya, Azlikamil Napiah berkata, melalui NSP 2030 itu juga, pihaknya turut meletakkan sasaran untuk mewujudkan hingga 5,000 pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

"Kami juga menyasarkan sektor angkasa untuk menjadi tiga teratas dalam penyelidikan dan pembangunan di Asia Tenggara dengan 50% berdikari dalam teknologi angkasa menjelang 2030," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sesi webinar yang bertajuk "Komunikasi Satelit dan Transformasi Digital Malaysia Seterusnya" seperti dilapor Bernama hari ini.

 

NSP 2030 yang dilancarkan pada 2019 lalu berada dalam proses membangunkan dua kluster iaitu segmen pengguna yang menumpukan kepada sistem, penciptaan permintaan, perkongsian kepakaran serta data terbuka.

 

Satu lagi segmen ialah permukaan yang merangkumi perkhidmatan rangkaian serta pengaturcaraan pemerolehan data.

 

Bagaimanapun, dua lagi kluster dalam program penerokaan angkasa iaitu segmen angkasa dan kesinambungan segmen ilmu belum ditubuhkan.

 

Beliau menambah, MYSA telah membangunkan hampir 40 sistem aplikasi berdasarkan pembangunan teknologi angkasa untuk menyediakan penyelesaian kepada masalah dalam pelbagai sektor seperti pengurusan bencana, kesihatan alam sekitar, pengurusan sumber asli termasuk keselamatan dan pertahanan.

 

"Apa yang kami buat dalam menyediakan penyelesaian kepada banyak cabaran dalam pelbagai sektor masih belum mencukupi. 

 

"Menjelang 2030, kami menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 90 sistem aplikasi yang akan memberi manfaat kepada 110 agensi dan jabatan kerajaan," katanya lagi. - DagangNews.com