NUBE bimbang ramai hilang kerja | DagangNews Skip to main content

NUBE bimbang ramai hilang kerja

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua dibimbangi akan memberikan ‘mimpi ngeri’ buat rakyat atau perusahaan yang belum lagi pulih akibat langkah sekatan pergerakan pada tahun lalu. 

 

Bagi Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE), keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang akan kelaparan atau ketinggalan selama ini. 

 

Setiausaha Agungnya, J. Solomon menggesa supaya bantuan wang tunai mesti diberikan dengan pantas dan tidak mengambil masa lama untuk diumumkan serta dilaksanakan kerana situasi ini amat sukar bagi pekerja B40.

 

Ujarnya, ramai yang bekerja sendiri dan berpendapatan rendah dari kategori B40, di mana mereka yang dibayar gaji harian akan berdepan krisis kewangan teruk. 

 

J. Solomon
J. Solomon

 

“Seperti PKP pertama, beberapa pakej rangsangan tidak dilaksanakan dengan adil kepada kumpulan sasar. Ini tidak seharusnya terjadi kerana kerajaan memiliki cukup cadangan untuk memastikan bantuan sampai kepada kelompok yang layak menerimanya secepat mungkin dan tidak boleh dilihat memberi kekayaan kepada mereka yang mempunyai kuasa.

 

“Kerajaan harus mendedahkan bantuan yang dibayar kepada syarikat untuk memastikan mereka benar-benar layak. Ini kerana kita mengetahui hakikat bahawa banyak majikan yang tidak bertanggungjawab dalam industri pelancongan dan perhotelan yang telah memperoleh keuntungan berbilion-bilion saban tahun memberhentikan pekerja semasa pandemik ini sejak awal tahun 2020. 

 

“Jawatankuasa bebas harus dibentuk dari orang ramai tanpa ikatan politik untuk memastikan dan memantau subsidi dari kerajaan dilaksanakan untuk tujuan yang ditetapkan,” tegas Solomon dalam sebuah kenyataan. 

 

Bagaimanapun, Solomon tidak menentang pelaksanaan semula PKP di enam buah negeri selain Proklamasi Darurat yang diumumkan semalam. 

 

Baca : PKP 2.0 ‘kikis’ RM10 bilion daripada KDNK 

 

Baginya, memandangkan jumlah kes positif COVID-19 naik mendadak sepanjang bulan lalu, PKP semestinya diperlukan sebagai pemutus litar dan mengawal kenaikan kes. 

 

Baca : PKP 2.0: Operasi kedai makan, gerai hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus

 

Baca : PKP kedua, Malaysia akan ‘tenat’ 

 

Proklamasi Darurat pula akan ‘menyejukkan’ panas politik sejajar kebimbangan rakyat terhadap kesan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti dengan lebih ramai Ahli Parlimen dijangka menarik sokongan mereka. 

 

“Dengan langkah ini, ada beberapa bentuk kelegaan bahawa kerajaan dan ahli politik lain sekarang dapat mengumpulkan sumber daya dan tenaga mereka untuk membantu rakyat Malaysia yang miskin, terjejas akibat COVID-19 pada suku pertama 2020 (1Q20).

 

“Kerajaan harus mengeluarkan peringatan diikuti pelaksanaan undang-undang keras yang mewajibkan majikan menjaga pekerja dan tidak menggunakan PKP baharu ini untuk mengurangkan tenaga kerja mereka. Dalam konteks ini, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga harus diberi bantuan tetapi hanya kepada yang lebih kecil untuk meneruskan perniagaan mereka. 

 

“Akan ada banyak institusi seperti bank-bank tertentu yang tidak bertanggungjawab, mengambil kesempatan untuk memberhentikan pekerja dengan meminta mereka bekerja dari rumah terlebih dahulu, perlahan-lahan mengalihkan fungsi mereka. Kami melihat ia berlaku semasa PKP pertama,” tambahnya lagi.

 

Dalam pada itu, Solomon meminta kerajaan untuk melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat memandangkan terdapat risiko PKP dan Proklamasi Darurat dilanjutkan sehingga 1 Ogos 2021. 

 

Beliau meminta kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memerintahkan industri gergasi yang telah memperoleh keuntungan berbilion untuk disumbangkan ke arah bantuan ini bagi membantu B40, M40 dan PKS. - DagangNews.com