Nufam gesa Menteri Sumber Manusia hentikan tekanan ke atas pemimpin kesatuan | DagangNews Skip to main content

Nufam gesa Menteri Sumber Manusia hentikan tekanan ke atas pemimpin kesatuan

 

KUALA LUMPUR 19 Mei – Satu lagi kesatuan sekerja menggesa Menteri Sumber Manusia supaya menghentikan ancaman terhadap pemimpin kesatuan yang dipanggil polis selepas bersuara mengenai kebajikan pekerja.

 

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) dalam kenyataannya berkata, pihaknya meminta agar Menteri Sumber Manusia menghentikan taktik mengancam sedemikian yang tidak mengikut undang-undang dan tidak selaras dengan Perlembagaan ke atas mereka yang bersuara mewakili nasib pekerja.

 

“Kesatuan-kesatuan berhak membangkitkan isu-isu berkaitan pekerja di negara ini. Adalah tidak mengikut perundangan bagi Menteri menggunakan polis, sedangkan beliau boleh mengarahkan penguatkuasa menyiasat aduan yang dibuat oleh Solomon.

 

NUBE
J Solomon

 

“Mengapa Menteri menganggapnya begitu peribadi? Tidakkah beliau mahukan kebenaran atau sememangnya buat tidak nampak perkara yang dibangkitkan itu?

 

“Ia satu langkah semata-mata untuk menutup mulut kesatuan yang bersuara membela nasib pekerja,” kata Nufam sebagai mengulas pendedahan J. Solomon selaku Setiausaha Agung NUBE bahawa beliau dipanggil memberi keterangan polis semalam, berikutan laporan rasmi Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan ke atasnya.

 

saravanan
M Saravanan, Menteri Sumber Manusia

 

Nufam berkata, dua pemimpin kesatuan hari ini telah dipanggil oleh polis selepas mereka menyuarakan nasib pekerja dan ini sama sekali tidak boleh diterima.

 

“Peranan kesatuan ialah mengenengahkan keadaan tempat kerja dan permasalahan dihadapi para pekerja di negara ini. Dan menjadi tugas Menteri untuk menyiasat aduan berkenaan, bukan mengancam pula pemimpin kesatuan!

 

“Kita ada akta buruh dan cara betul bagi menteri ialah memanggil pengadu untuk mengetahui lebih lanjut kenyataannya tanpa menggunakan polis atau taktik mengancam,” kata Nufam.

 

BACA JUGA : NUBE : Intimidation of unions by lodging police reports against them must be stopped

 

“Ini sememangnya cara mendiamkan kesatuan ke atas pemimpin-pemimpin kesatuan.

 

“Kami gesa Menteri supaya segera menghentikan ancaman atau tekanan ke atas pemimpin kesatuan mengikut undang-undang,” kata Nufam. – DagangNews.com