Skip to main content

Nufam selar pelan penyusunan semula Khazanah ke atas Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR 15 Okt . - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) hari ini menyelar pelan pengstrukturan dan penutupan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) oleh Khazanah Nasional Bhd.

Presiden Sekretariat Ismail Nasaruddin berkata tindakan Khazanah tersebut dilihat bersifat peribadi bagi melarikan diri dari bertanggungjawab terhadap hutang yang dibuat kepada banyak pihak.

Beliau menekankan kerugian yang dialami oleh MAB adalah berpunca daripada pihak Khazanah yang lebih bermotifkan keuntungan, serta masalah sistem pengurusan dalaman yang masih teruk.

 

nufam
Ismail Nasaruddin

 

“Pada pendapat kami, MAB ditubuhkan bagi menjana keuntungan bernilai berbilion (ringgit) dalam jangka masa pendek atau "short term" untuk sesetengah pihak dan lepas itu syarikat ditutup semula.

“Dengan adanya pandemik COVID-19 hari ini, ia hanya satu alasan yang terbaik untuk menutup kelemahan sistem pengurusan MAB dan Khazanah Nasional

“Buka tutup syarikat penerbangan nasional macam kedai kopi. Apa sebenarnya matlamat dan motif Khazanah Nasional?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

BACA : Firefly ganti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional

Dalam laporan sebelum ini, syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), telah memaklumkan syarikat pemiutang dan pemajak bahawa Khazanah akan menghentikan penyaluran dana ke dalam kumpulan itu dan menutup operasi penerbangan itu sekiranya langkah penyusunan semula hutang itu terbukti gagal.

Ismail berkata Khazanah Nasional tidak menunjukkan hasrat untuk membantu atau menyelamatkan beribu pekerja MAB yang selama ini yakin bahawa Pelan Pemulihan Malaysia Airlines (MRP) akan membuahkan hasil yang positif.

Pada Ogos 2014, Khazanah mengumumkan MRP bernilai RM6 bilion dalam usaha membolehkan MAB kembali mencatat keuntungan serta menghidupkan semula syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Ismail berpendapat Malaysia Airlines pada ketika itu berpotensi tinggi untuk mendapat keuntungan yang banyak kerana harga tiket yang lebih tinggi berbanding syarikat penerbangan nasional Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan lain.

Walaupun terdapat campur tangan dari sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan yang tinggi, Malaysia Airlines masih mampu beroperasi dengan baiknya, katanya.

Malahan, selepas penutupan dan pertukaran Malaysia Airlines System kepada MAB, syarikat itu seharusnya mempunyai lebih keuntungan, beliau menzahirkan kepercayaan.

"Kerajaan telah bantu MAB dengan suntikan berbilion ringgit selepas 2015, masakan dalam tempoh lima tahun berbilion ringgit telah habis digunakan dan sekarang mahu tutup kedai pula?,” katanya.

Ismail berkata kerajaan seharusnya bersuara dan ambil sikap lebih bertanggung jawab, tetapi malangnya lebih kepada berdiam diri.

Katanya rayuan oleh kesatuan pekerja telah dilakukan namum tiada sebarang kenyataan atau jawapan diberikan oleh pejabat Perdana Menteri sehingga hari ini.

Berhubung rancangan Khazanah untuk menyuntik dana ke dalam Firefly, anak syarikat milik penuh MAG, Ismail berkata pelan tersebut “tidak masuk akal” dan kurang menyenangkan ramai pihak termasuk kakitangan sediada MAB.

Beliau berkata sejarah penubuhan Firefly merupakan idea Khazanah Nasional bagi memberi persaingan kepada syarikat tambang murah AirAsia.

“Hari ini 12,000 pekerja MAB berdepan dengan keadaan yang tidak menentu kerana ekonomi yang masih tidak stabil dan dengan adanya keputusan untuk menutup syarikat MAB, maka ramai pekerja ini akan hidup susah.

“Soalannya berapa ramai pekerja dari MAB yang boleh diserapkan ke dalam Firefly? 100? 200? Yang lain bagaimana pula?” soal beliau.

Ismail turut mempersoalkan bagaimana Khazanah mahu menjadikan Firefly satu ikon antarabangsa kerana Firefly bukanlah berstatus syarikat besar seperti Air Asia.

Beliau berkata nama syarikat Firefly tidak akan memberikan gambaran positif sebagai satu syarikat antarabangsa buat negara Malaysia, sambil menggesa kerajaan untuk beri kenyataan rasmi mengenai isu penutupan MAB sekiranya pelan itu betul. - DagangNews.com