NWP pelbagaikan aliran pendapatan menerusi kerjasama dalam perniagaan mengorek pasir | DagangNews Skip to main content

NWP pelbagaikan aliran pendapatan menerusi kerjasama dalam perniagaan mengorek pasir

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - NWP Marine Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat NWP Holdings Berhad hari ini menjalinkan kerjasama dengan OneOne Auro Marine Sdn. Bhd. untuk menjalankan kerja-kerja mengorek, mengangkut dan memuatkan pasir laut dari kawasan konsesi ke kapal induk untuk tujuan eksport atau ke tapak penambakan. 

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, operasi kerjasama itu diwujudkan oleh NWP Marine (51%) dan OOA Marine (49%). 

 

Pengerusi bukan eksekutifnya, Datuk Tan Lik Houe berkata, kerjasama itu akan membuka pelbagai kemungkinan baharu untuk kumpulan terutama dalam mengembangkan aliran hasil selain menerokai perniagaan mengorek pasir yang akan memacu pemulihan syarikat dalam masa terdekat.

 

"Kami teruja dengan potensi perniagaan baharu kerana ia membantu menjana aliran tunai berulang dan aliran pendapatan yang stabil untuk kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

NWP juga bercadang untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan sedia ada termasuk perlombongan, perdagangan dan eksport pasir, dan aktiviti perniagaan yang berkaitan selain penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat.

 

OOA Marine merupakan pengendali yang dilantik oleh OneOne Auro Sdn. Bhd. untuk menyediakan perkhidmatan pengekstrakan pasir di kawasan konsesi di Melaka untuk tujuan eksport dan tebus guna tempatan dengan memenuhi pesanan purata lima kapal induk sebulan untuk tujuan eksport.

 

OneOne Auro, adalah pengedar eksklusif untuk eksport pasir marin pemilik konsesi, Bahtera Teroka Sdn. Bhd.di Melaka, dan telah diberikan hak eksklusif untuk mengurus dan melantik pengendali untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan pengekstrakan, pengorekan, pengangkutan pasir marin dari kawasan konsesi ke tempat kapal-ke-kapal.

 

Pemilik konsesi telah diberikan lesen untuk mengeluarkan pasir marin di perairan wilayah Tanjong Keling untuk tempoh tiga tahun dan kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mengeksport pasir marin yang diekstrak dari kawasan konsesi.

 

Pengarah Eksekutif NWP, Tan Jyy Yeen berkata, kepelbagaian dalam perniagaan pengorekan pasir meletakkan kumpulan itu di hadapan untuk mengembangkan strategi pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

"Memandangkan operasi perniagaan berisiko rendah, kerana peranan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan untuk operasi mengorek pasir dan mengangkut pasir ke kapal induk, kami tidak terdedah kepada risiko daripada turun naik harga minyak dan pertukaran mata wang asing.

 

"Berdasarkan harga minyak semasa, operasi perniagaan telah pun beroperasi dengan margin yang sihat. Margin keuntungan ini akan berkembang apabila harga minyak kembali normal dan sederhana kepada paras yang lebih rendah," katanya. - DagangNews.com