Offspring tembusi pasaran Timur Tengah menerusi Bahrain | DagangNews Skip to main content

Offspring tembusi pasaran Timur Tengah menerusi Bahrain

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept – Jenama produk penjagaan bayi, Offspring Inc Sdn. Bhd. (Offspring) menyasarkan bahagian pasaran bernilai RM35 juta sebulan selepas berjaya menembusi pasaran Timur Tengah.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA Innovator Bhd. (SEDANIA), Datuk Azrin Mohd Noor berkata, Offspring yang merupakan antara anak syarikat milik SEDANIA kini berjaya memasuki pasaran Bahrain dan turut merancang untuk mengembangkan pertumbuhan jenama berkenaan ke negara-negara jiran seperti Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

 

“Bahrain merupakan lokasi yang strategik untuk memperkenalkan jenama kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan di sekitar Timur Tengah. Offspring berada dalam kedudukan yang sangat baik kerana kami sekarang berada di tahap pertumbuhan baharu yang menarik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Azrin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di Bahrain dan kini memberi fokus kepada pengukuhan pengenalan jenama di samping memenuhi permintaan yang tinggi daripada pasaran baharu berkenaan.

 

“Kami telah menerima pesanan yang besar dari Bahrain sejurus selepas perjanjian perkongsian kami dimeterai”, katanya.

 

Tambahnya, Bank Dunia mengklasifikasi Bahrain sebagai negara yang mempunyai pendapatan isi rumah yang tinggi dengan anggaran pendapatan setiap isi rumah sebanyak AS$55,000 setahun.

 

“Berdasarkan data tersebut, penduduk Bahrain boleh dianggap antara sasaran pengguna yang ideal untuk peniaga semua sektor termasuk produk keperluan asas.

 

“Timur Tengah adalah pasaran yang berpotensi besar dan mempunyai cita rasa yang tinggi untuk produk berkualiti. Kami percaya produk Offspring akan mendapat kedudukan yang baik di sini,” ujarnya.

 

SEDANIA memiliki 51% kepentingan dalam Offspring yang merupakan syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan khusus pada penjagaan awal kanak-kanak, antaranya menghasilkan produk bayi organik yang berkualiti tinggi.

 

Offspring merupakan perintis dalam produk berasaskan organik di rantau ini, yang menawarkan lampin bayi mesra alam, tisu basah terbiodegradasi, barangan asas penjagaan bayi, dan barangan isi rumah yang berasaskan bahan bukan toksik, organik, dan berasaskan tumbuhan. - DagangNews.com