Omesti terima LOA daripada TNB bagi projek pajakan komputer bernilai lebih RM25 juta | DagangNews Skip to main content

Omesti terima LOA daripada TNB bagi projek pajakan komputer bernilai lebih RM25 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - Omesti Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Formis Network Services Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi projek pajakan komputer bernilai RM25,312,416 pada 21 Jun 2022.

 

Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, projek berkenaan adalah untuk tempoh tiga tahun dan tiada klausa pembaharuan untuk LOA tersebut.

 

"Kontrak TNB itu bagaimanapun tertakluk kepada kontrak rasmi yang akan dimeterai antara TNB dan FNS," katanya.

 

Surat anugerah itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar syarikat.

 

"LOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham Kumpulan Omesti dan tidak dijangka memberi kesan ke atas penggearan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tamat tempoh kontrak," katanya.

 

Syarikat itu tidak melihat sebarang risiko lain berbanding risiko operasi berkaitan LOA itu sepanjang tempoh kontrak.

 

Tiada pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam LOA berkenaan. - DagangNews.com