Omesti tingkatkan pegangan ekuiti dalam Microlink kepada 53.4% | DagangNews Skip to main content

Omesti tingkatkan pegangan ekuiti dalam Microlink kepada 53.4%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Omesti Berhad menerusi anak syarikatnya, Omesti Holdings Berhad (OHB) mengumumkan bahawa kumpulan telah meningkatkan pegangan ekuiti dalam Microlink Solutions Berhad kepada 53.418%, mewakili 128,892,493 saham. 

 

Ini selepas OHB telah membeli 3,978,700 saham biasa milik Microlink dalam tempoh 5 April hingga 20 Mei 2021, jelas kumpulan dalam makluman di Bursa Malaysia. 

 

Pengambilalihan itu merangkumi 1.649% daripada jumlah terbitan saham Microlink di pasaran terbuka dengan nilai pembelian RM10,146,597.07 atau pada purata RM2.55 sesaham.

 

“Saham Microlink diperoleh pada harga pasaran semasa pengambilalihan dan dibiayai menerusi dana dalaman. 

 

“Selepas mengkaji semula portfolio pelaburan syarikat (Omesti), pengambilalihan ini dijangka menyediakan peluang buat kumpulan untuk meningkatkan pegangan dalam Microlink kepada 53.418%,” jelas Omesti.

 

Tambah Omesti, pengambilalihan itu memberi peluang buat kumpulan untuk mengembangkan portfolio pelaburannya untuk peningkatan nilai yang berpotensi.

 

Kata kumpulan itu lagi, ahli lembaga pengarah tidak melihat sebarang risiko berkaitan pengambilalihan berkenaan selain daripada risiko ekonomi global yang dihadapi Microlink. 

 

“Oleh itu, lembaga pengarah percaya bahawa pengalaman dan kepakaran pasukan pengurusan akan membolehkan kumpulan mengurangkan risiko ini secara berkesan,” tambah Omesti.

 

Sebagai rekod, Microlink diperbadankan sebagai syarikat berhad persendirian pada 7 Julai 2003 di Malaysia. 

 

Setakat 19 Mei 2021, Microlink mempunyai saham terbitan dan berbayar berjumlah RM105,582,794.310, merangkumi 241,290,340 unit. - DagangNews.com