Omicron beri kesan kepada usaha pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 19 February 2022

OMICRON BERI KESAN KEPADA PEMULIHAN PEMULIHAN EKONOMI

China Press dan Oriental Daily 16 Feb 2022

 

 

 

SERANGAN gelombang Omicron telah meningkatkan lonjakan kes di negara kita. Walaupun kebanyakan kes yang dijangkiti hanya mengalami gejala ringan, peningkatan bilangan orang yang dikuaratin sedikit sebanyak menjejaskan produktiviti ekonomi.

 

Pakar ekonomi menyifatkan gelombang Omicron ini sebagai krisis yang menggugat ekonomi terutamanya keadaan ekonomi yang agak lembap selepas perayaan Tahun Baharu Cina, dianggap ‘sedikit berbahaya’ kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

 

Presiden Gabungan Ikatan Persatuan Cina Malaysia (FEMACGA) Datuk Lum Kim Soong bersetuju serangan gelombang Omicron ini memberi impak yang besar kepada semua lapisan masyarakat.

 

Sekiranya terdapat 20,000 kes yang disahkan setiap hari dan memerlukan kuarantin kendiri di rumah, ditambah pula dengan kontak rapat mereka, sudah tentu jumlah orang yang dikuarantin akan mencecah puluhan ribu.

 

Sementara itu,  Bendahari Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Koong Lin Loong berpendapat selagi kerajaan tidak melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP), maka kesan gelombang wabak kali ini tidak akan menjadi lebih buruk daripada 2 tahun lepas.

 

Beliau percaya bahawa virus ini tidak akan terus membunuh ekonomi, sebaliknya 2 faktor yang lain iaitu PKP dan keyakinan pengguna dalam berbelanja. Walaupun begitu, krisis ekonomi tetap ada kerana Omicron menyerang selepas Tahun Baharu Cina.

 

Tambahan pun, peningkatan kes setiap hari, menyebabkan pengguna akan lebih berhati-hati dan kurang untuk keluar berbelanja. Keadaan ini boleh dilihat melalui aliran trafik di jalan raya yang nampak berkurangan, meskipun sekolah dan kerja telah bermula.

 

Selain itu, perniagaan akan berdepan dengan masalah aliran tunai yang serius pada masa hadapan selepas berakhirnya moratorium pembayaran balik pinjaman, apatah lagi kita tidak tahu sampai bila Omicron ini akan melanda.

 

 

omicron

 

 

Apabila ramai yang positif dan kontak rapat perlu dikuarantin, mereka masih menerima gaji. Perniagaan tidak mengalami pengurangan kos tetapi produktiviti mereka telah menurun dengan ketara.

 

Oleh yang demikian, perniagaan perlu lebih berhati-hati tidak berbelanja untuk aspek yang tidak produktif, jika tidak ia akan menghancurkan aliran tunai. Kerajaan menekan bahawa tidak akan melaksanakan semula PKP, selagi tiada penutupan menyeluruh maka sektor ekonomi akan terus berfungsi dengan baik.

 

Namun begitu, jika wabak menjadi semakin serius, kerajaan berkemungkinan terpaksa membuat sekatan seperti mengehadkan bilangan pengunjung yang makan di restoran, waktu perniagaan, bilangan orang yang bekerja dan sebagainya. Walaupun pelaksanaannya kecil, tetapi masih memberi impak kepada ekonomi.

 

Berikut beberapa masalah yang perlu diberi perhatian oleh pelabur:-

1. Gangguan rantaian bekalan

Rantaian bekalan global telah menghadapi tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak 2 tahun lalu akibat gangguan logistik yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Walaupun gangguan ini sudah nampak berkurangan tetapi keadaan dijangka lebih teruk jika varian Omicron menyebabkan ekonomi utama terkunci semula. Ketidakpastian impak varian baru ini akan memberi cabaran besar kepada produktiviti, logistik dan tenaga buruh.

 

2. Ketidaktentuan pasaran

Pada tahun 2020, kebimbangan pelabur terhadap kesan pandemik telah mendatangkan malapetaka kepada ekonomi apabila pasaran saham mengalami kerugian besar. Kali ini, seluruh dunia mula membuat spekulasi sama ada Omicron akan menyebabkan sejarah berulang.

 

Tetapi selepas 2 tahun, pelabur mendapat pengajaran bahawa tidak semua yang berlaku akan mendatangkan perkara buruk. Antaranya, pasaran saham industri sarung tangan dan saham teknologi telah meningkat ke paras yang tertinggi.

 

3. BNM dijangka naikkan kadar faedah 

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan OPR pada 1.75% sehingga Jun tahun ini, sebelum menaikkan kadar secara perlahan pada suku ketiga berikutan tekanan inflasi yang semakin meningkat.

 

Bursa saham seperti CIMB meramalkan bahawa BNM akan menaikkan kadar faedah dalam 2 pusingan sebanyak 25 mata asas setiap satu pada separuh kedua tahun ini.

 

Walaupun ada yang menyatakan kebimbangan mengenai langkah ini kerana kenaikan inflasi akan melemahkan lagi kuasa membeli pengguna.

 

Dari sudut pandangan CIMB, kenaikan kadar BNM mencerminkan beberapa faktor:-

i. keadaan ekonomi pada tahun 2022 akan menjadi lebih baik daripada tahun 201 kerana risiko penutupan adalah lebih rendah dan pasaran buruh bertambah baik.

ii. inflasi dijangka meningkat tetapi tindak balas kerajaan yang tepat pada masanya dapat menyekat inflasi menjadi lebih agresif.

iii. tahap kadar faedah kekal sangat akomodatif kepada pengguna dan perniagaan.

 

4. Utamakan penyatuan fiskal

Dari segi makroekonomi, Bank Dunia percaya bahawa Malaysia perlu mengutamakan penyatuan fiskal untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dan kutipan hasil yang berkesan.

 

5. Hidup bersama wabak

Jangkitan tempatan adalah perkara yang perlu diterima oleh pelabur kerana hari ini lebih banyak sektor ekonomi Malaysia akan dibuka semua dan sekatan sosial dan pergerakan juga akan ditarik balik secara beransur-ansur.

 

Apabila COVID-19 menjadi endemik, bermakna jangkitan tidak akan hilang dan akan terus merebak. Sama ada varian Omicron, Delta atau IHU, wabak akan terus ada dan semua orang harus membiasakan diri untuk hidup dengan kehadiran virus.

 

 

KL

 

 

Kita sudah tidak boleh kembali hidup seperti dulu, tetapi masih boleh berusaha untuk minimumkan impak wabak kepada kehidupan seharian.

 

Kita tidak mahu negara melaksanakan penutupan seperti yang dilakukan di China atau terlalu terbuka seperti Amerika Syarikat. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar China Press dan Oriental Daily 16 Februari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags