Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Nov - Sime Darby Bhd. merekodkan untung bersih yang lebih rendah bagi suku pertama berakhir 30 September 2021, susut 16% kepada RM236 juta daripada RM281 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Penurunan ini disebabkan operasi perindustrian di China menyerap impak daripada aktiviti perniagaan yang perlahan pada suku berkenaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Malah, pendapatan bagi tempoh itu juga susut 1.9% kepada RM10.67 bilion berbanding RM10.88 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, China menyumbang sebahagian besar daripada keuntungan dan pendapatan kumpulan, manakala segmen perindustrian terjejas dengan kelembapan perbelanjaan infrastruktur di China.
Bagaimanapun, katanya, operasi bahagian permotoran di China terus merekodkan hasil yang kukuh dengan jualan lebih tinggi bagi kenderaan mewah.
"Operasi perindustrian dan permotoran di semua pasaran lain menunjukkan prestasi yang baik memandangkan kebanyakannya berada di bawah beberapa bentuk sekatan pergerakan semasa dalam tempoh 2 bulan pertama suku tersebut.
"Namun, kami menyedari ketidaktentuan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang boleh menjejaskan prestasi kami di pasaran rantau Asia Pasifik," katanya.
Untung sebelum cukai dan faedah (PBIT) bagi bahagian perindustrian pada suku pertama itu susut 18.4% kepada RM160 juta.
Ini disebabkan penurunan mendadak keuntungan daripada operasi di China yang berdepan penghantaran peralatan dan hasil sewaan lebih rendah disebabkan kelembapan aktiviti pembinaan di negara tersebut.
Bagi bahagian perindustrian di peringkat Australasia, ia merekodkan PBIT 3% lebih tinggi pada suku berkenaan berikutan hasil peralatan yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu walaupun margin bagi jualan alat ganti dikurangkan.
PBIT bagi bahagian permotoran pula meningkat 15% lebih tinggi disumbangkan menerusi Motors China tidak termasuk Hong Kong dan Macau yang turut didorong peningkatan pendapatan daripada jualan kenderaan mewah dan keuntungan lebih tinggi di Malaysia. - DagangNews.com