Operasi Poh Huat di Vietnam diarah tutup sementara | DagangNews Skip to main content

Operasi Poh Huat di Vietnam diarah tutup sementara

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Julai – Operasi perkilangan Poh Huat Resources Holdings Berhad di Vietnam dijangka tidak menjejaskan perolehan syarikat, berikutan arahan kerajaan republik tersebut supaya perniagaan bukan penting ditutup sementara dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.

 

Poh Huat yang berpangkalan di Muar, Johor merupakan pengeluar perabot pejabat dan kediaman memiliki kilang pengeluarang di dua lokasi di Vietnam iaitu Binh Duong dan Dong Nai, yang masing-masingnya diarah tutup sementara pada 17 dan 20 Julai lalu.

 

Mengulas mengenainya, firma PublicInvest Research menyifatkan sementara penutupan itu akan menyebabkan penangguhan daripada segi penghantaran, impak ke atas perolehan oh Huat adalah minimal disebabkan kumpulan memiliki bilangan inventori bagi memenuhi permintaan tertentu.

 

Malahan, sekiranya perlu, Poh Huat boleh meningkatkan pengeluarannya dengan menambah shif kerja apabila dibuka semula kelak.

 

“Kami mengunjurkan bagi setiap 2 minggu penutupan, perolehan Poh Huat menyusut 2%, namun kami mengekalkan penarafan `outperform’ untuk harga RM2.20 sesaham syarikat,” kata PublicInvest dalam nota hari ini.

 

“Kumpulan syarikat itu juga sedang berbincang dengan pelanggan untuk menyusun semula jadual penghantaran. Operasi Vietnam ini menyumbang 55% kepada jumlah keseluruhan jualan kumpulan pada tahun kewangan 2020,” ujarnya.

 

Menurutnya lagi, kerajaan Vietnam menguatkuasakan penutupan operasi perniagaan bukan penting di bawah Perintah No.16 yang bermula 19 Julai lalu ke seluruh 16 negeri di selatan Vietnam bagi mengekang penularan pandemik.

 

Pada masa ini, tiada kakitangan di kilang-kilang milik Poh Huat dijangkiti virus COVID-19, namun mengikut Perintah No.16 itu, operasi kilang ditutup sementara selama 14 hari. – DagangNews.com