Skip to main content

Operasi Stesen Janaelektrik Kenyir dihenti sementara akibat tanah runtuh

TNB beri jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung sumber penjanaan lain.

KUALA LUMPUR 2 Mac - Operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat tanah runtuh.

 

Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat, 25 Februari 2022 mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM pada jam 4 pagi 27 Februari, diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen, seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu (huluan SJSM).

 

Tanah runtuh ketiga kira-kira jam 10 pagi hari yang sama, meruntuhkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV itu.

 

TNB
TNB telah mendapat bantuan Jabatan Kerja Raya untuk membersihkan jalan masuk ke Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu sebagai laluan sementara bagi membolehkan kerja-kerja baik bulih dilaksanakan.  

 

TNB mengambil langkah segera menghentikan operasi SJSM dan mengeluarkan warga kerja SJSM sebaik keadaan membolehkan mereka dipindahkan dengan selamat dari stesen itu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Baharin Din memaklumkan TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) sebaik kejadian tanah runtuh itu berlaku bagi mengambil tindakan serta-merta untuk menangani situasi tersebut, termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

 

“Langkah-langkah lain turut melibatkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM.

 

''Penilaian awal mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Datuk Ir. Baharin Din
                                 Datuk Ir. Baharin Din

 

 

TNB juga, katanya, akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan.

 

“Kami menjangkakan kerja baik pulih ini akan mengambil hampir enam bulan kerana ia juga merangkumi kerja-kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan asset-aset penjanaan.

 

''Langkah-langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga telah diambil,” ujar Baharin.

 

Sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt ini, Baharin memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional. - DagangNews.com