OPR: Langkah Malaysia sesuaikan kedudukannya dalam rantaian ekonomi antarabangsa | DagangNews Skip to main content

OPR: Langkah Malaysia sesuaikan kedudukannya dalam rantaian ekonomi antarabangsa

Jika Malaysia tidak mengambil langkah yang sama, maka perbezaan antara ringgit dan dolar AS akan menjadi lebih ketara
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 13 Mei – Langkah menaikkan Kadar Pinjaman Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus berbanding 1.75 peratus sebelum ini adalah satu daripada langkah Malaysia dalam menyesuaikan kedudukan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia, kata pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi.

 

Langkah Malaysia adalah selari dengan yang diambil oleh kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat yang terlebih dahulu mengetatkan polisi monetari yang merangkumi kenaikan kadar faedah serta mengurangkan kecairan wang dalam pasaran. Ini adalah usaha AS dalam mengekang kejutan inflasi.

 

"Kenaikan kadar faedah dan mengawal kecairan mata wang dalam pasaran adalah strategi AS ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19, malahan ia telah dipraktikkan sebelum itu," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Mengulas mengenai kesan terhadap Malaysia, sekiranya OPR kekal rendah, Nungsari berkata jika Malaysia tidak mengambil langkah yang sama, maka perbezaan antara ringgit dan dolar AS akan menjadi lebih ketara, di samping aliran keluar ringgit akan meningkat dan ringgit akan melemah.

 

"Ini melemahkan kadar mata wang negara seperti yang berlaku pada masa sekarang dan ini merupakan faktor kepada inflasi tolakan kos, jelas beliau lagi.

 

Kadar tukaran mata wang merupakan faktor kepada inflasi tolakan kos, di mana mana-mana negara yang membenarkan nilai mata wangnya jatuh akan mengalami harga import yang lebih tinggi.

 

Pembekal asing tidak mahu nilai produknya jatuh bersama dengan nilai mata wang dan jika permintaan tidak anjal, ia boleh menaikkan harga dan mengekalkan margin keuntungannya.

Dr Nungsari Radhi
                                 Dr Nungsari Radhi

 

Nungsari turut berkata sekiranya OPR dinaikkan, kos kredit bagi kredit sedia ada mahupun yang baru akan meningkat.

 

"Banyak isi rumah berhutang dan kerajaan pula berhutang besar. Jadi, kos pembayaran hutang akan meningkat," ujar beliau lagi.

 

Rabu lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

 

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

 

Pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

 

Hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

 

Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat.

 

Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi. – DagangNews.com