OPR: Unjuran untung bersih bank naik 1.7%  | DagangNews Skip to main content

OPR: Unjuran untung bersih bank naik 1.7% 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Susulan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan kepada 1.75%, maka unjuran keuntungan bersih oleh CGS-CIMB Research ke atas bank-bank melonjak 1.7% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

“Semasa musim keputusan suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) dikeluarkan pada 21 Februari, kami mengambil kira pemotongan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) dalam unjuran perolehan bagi FY21 hingga FY23 untuk semua bank. 

 

“Tiada pemotongan OPR akan meningkatkan unjuran keuntungan bersih buat FY21 sebanyak 1.7%,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Jelas CGS-CIMB, peningkatan itu akan memberi impak besar buat Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance), pada kadar 7.5% unjuran keuntungan bersih bagi FY22. 

 

Ini susulan CGS-CIMB melihat bank berkenaan sebagai antara yang paling sensitif terhadap perubahan kadar faedah, ekoran nisbah pinjaman kadar terapung yang tinggi sebanyak 82% dan nisbah deposit kos rendah (CASA atau akaun simpanan akaun semasa) yang tinggi sebanyak 37.9% pada FY22. 

 

Kedua, CGS-CIMB menjangkakan keuntungan bersih FY22 Alliance akan lemah ekoran kos kredit yang kian meningkat berdasarkan ramalan pulangan ekuiti FY22 yang rendah, hanya 6.6%.

 

Public Bank Berhad sebaliknya menyaksikan lonjakan terendah apabila OPR dikekalkan, iaitu hanya 0.9% bagi keuntungan bersih FY21, menurut ramalan CGS-CIMB. 

 

Ini ekoran nisbah bukan CASA Public Bank tinggi iaitu 74.6% pada ramalan CGS-CIMB bagi FY21 selain 7% daripada pemberian pinjamannya melibatkan pasaran asing di mana tidak terjejas daripada pergerakan OPR di Malaysia.

 

“Kami menjangkakan margin faedah bersih (NIM) bank-bank akan berkembang sebanyak 2 hingga 3 bp bagi FY21 sekiranya tiada pemotongan OPR pada 2021. 

 

“NIM FY20 bank-bank juga terjejas akibat kerugian pengubahsuaian bagi pinjaman kadar tetap, tetapi kami tidak menjangkakan kerugian pengubahsuaian yang akan dialami oleh bank-bank pada FY21,” ramal CGS-CIMB.

 

Sebelum itu, CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan OPR pada kadar 1.75% sepanjang tahun ini. 

 

Baca : Kenapa penganalisis jangka tiada lagi potongan OPR tahun ini?

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan dengan Hong Leong Bank Berhad, Public Bank dan RHB Bank Berhad sebagai pilihan teratas.

 

Pengekalan OPR pada kadar 1.75% semalam ekoran pemulihan ekonomi dilihat semakin rancak, disokong oleh sektor perkilangan dan perdagangan antarabangsa di samping program vaksinasi yang dilaksanakan di kebanyakan negara. 

 

Penunjuk terkini bagi Malaysia pula menunjukkan permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan, jelas BNM. - DagangNews.com