Ops cegah plat fancy, beri impak positif kepada pengendali RFID | DagangNews Skip to main content

Ops cegah plat fancy, beri impak positif kepada pengendali RFID

 

KUALA LUMPUR 8 Dis – Tindakan tegas polis dalam membanteras penggunaan nombor plat kenderaan `fancy’ iaitu plat yang bertentangan dengan ketetapan Jabatan Pengangkutan Jalan, memberi impak positif kepada pengendali plaza tol dan medan letak kereta yang menggunakan kaedah RFID atau Radio-Frequency Identification.

 

Menerusi kaedah RFID, kamera digital berfungsi untuk membaca plat nombor untuk mengesahkan pembayaran tol atau caj letak kereta sudah ditunaikan.

 

Sememangnya diketahui plat kereta `fancy’ menyukarkan kamera digital itu `membaca’ nombor yang ada kalanya, mengakibatkan pemandu itu sendiri marah atau menyebabkan kesesakan kecil.

 

RFID merujuk kepada teknologi di mana data digital yang dikodkan dalam tag RFID atau "smart label" ditangkap oleh pembaca melalui gelombang radio.

 

Pada masa kini, Tag RFID wujud di dalam pelbagai bentuk termasuk Kad Kredit dan Kad Debit anda.

 

Cara sistem RFID berfungsi adalah hampir sama dengan sistem barcoding kerana data dari label ditangkap oleh peranti (scanner) yang menyimpan data dalam pangkalan data.

 

Sepanjang bulan November, pihak polis telah melakukan operasi pemeriksaan dan tindakan saman terhadap pemilik kereta dengan plat nombor `fancy’ di seluruh negara.


 

PLUS

 

 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, Op Khas Nombor Pendaftaran yang berlangsung dari 1-30 November lalu menyaksikan 7,874 saman dilayangkan atas kesalahan nombor `fancy’ sementara 2,112 kesalahan pula berkaitan tidak mempunyai nombor pendaftaran.

 

14,923 saman lagi pula ialah untuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.

 

Motosikal, seperti dijangka merangkumi majoriti kesalahan nombor pendaftaran iaitu 49.45% atau 12,318 saman dan 24,909 jumlah saman keseluruhan sepanjang operasi.

 

Kesalahan plat nombor boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119 akta yang sama.

 

Menurut satu laporan, kerajaan Malaysia sehingga kini enggan menggunakan plat nombor seragam seperti yang digunakan oleh majoriti negara di seluruh dunia. – DagangNews.com