Skip to main content

Optimax catat prestasi kewangan cemerlang bagi Q3FY21

 

KUALA LUMPUR 25 Nov – Optimax Holdings Berhad, peneraju pakar mata swasta, mencatat perolehan sebanyak RM29.77 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 (Q3FY21), peningkatan sebanyak 63.64% daripada RM18.19 juta bagi tempoh suku tahunan sama pada tahun lalu (Q3FY20).

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) juga mempamerkan penambahbaikan berbanding Q3FY20, masing-masingnya meningkat 81.81% dan 90.40% iaitu RM7.20 juta dan RM5.58 juta, berbanding RM3.96 juta dan RM2.93 juta pada Q3FY20.

 

Operasi syarikat di wilayah tengah Semenanjung Malaysia kekal sebagai penyumbang hasil terbesar, memberikan RM22.42 juta atau 75.33% daripada keseluruhan perolehan bagi Q3FY21, berbanding RM11.23 juta yang dicatat pada Q3FY20.

 

Operasi di selatan dan utara Semenanjung Malaysia pula masing-masingnya, menyumbang RM3.67 juta dan RM3.21 juta atau 12.32% dan 10.78% daripada keseluruhan perolehan sementara Malaysia Timur menyumbang RM469,000 atau 1.58% daripada keseluruhan hasil.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFY21), Optimax mencatat perolehan sebanyak RM62.29 juta, iaitu peningkatan 52.64% daripada RM40.81 juta yang dicatat bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020 (9MFY20).

 

Kedua-dua PBT dan PAT bagi 9MFY21 menunjukkan kemajuan besar, masing-masingnya sebanyak 111.64% dan 118.49% pada RM12.26 juta dan RM9.07 juta, berbanding RM5.79 juta dan RM4.15 juta bagi 9MFY20.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan berkata, pihaknya gembira melihat kemajuan di dalam suku tahunan yang dikaji seiring dengan pembukaan semula ekonomi dengan pelonggaran pergerakan akibat COVID-19.

 

''Kami menyaksikan pemulihan berperingkat-peringkat dari segi bilangan pesakit, termasuk pesakit untuk pembedahan refraktif dan katarak yang sebelum ini dinasihatkan supaya menangguhkan prosedur mereka disebabkan perintah kawalan pergerakan.

 

“Kemajuan kami pada suku tahunan ini didorong oleh penglibatan kami di dalam program vaksinasi kebangsaan dan MyMedic@Wilayah anjuran ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dan Kementerian Wilayah Persekutuan, yang memberikan kami aliran hasil baharu.

 

''Bilangan pesakit juga disokong oleh usaha berterusan menawarkan promosi menerusi platform pemasaran dalam talian, yang mempamerkan hasil yang positif. Kami meningkatkan usaha-usaha pemasaran kami untuk menapai rangkaian pelanggan yang lebih luas menerusi pemasaran digital, pameran dan jerayawara,’’ kata Sandy.

 

sandy tan
                              Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan

 

Optimax telah meluaskan kehadirannya di seluruh negara menerusi penubuhan pusat jagaan ambulatori (“ACC”) di Bahau, Negeri Sembilan yang kini sedang diubah suai dan dijangka siap menjelang Q2FY22. Melangkah ke hadapan, Syarikat merancang untuk meluas ke pantai timur Semenanjung Malaysia dengan menubuhkan beberapa klinik satelit dan rangkaian ACC bagi menghubungkan negeri-negeri utama.

 

“Kami yakin bahawa prospek Optimax tetap tegu bagi FY20201 didorong oleh pemulihan ekonomi yang disokong oleh kejayaan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan. Ia membolehkan kami meluaskan capaian pasaran kami lebih lagi di negara ini’’.

 

Bagi FY2021, Lembaga Pengarah Optimax telah mengisytiharkan pembayaran dividen interim dikecualikan cukai 1.90 sen setiap satu saham biasa berjumlah RM5.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. Tarikh kelayakan ditetapkan pada 10 Disember 2021 dan pembayaran akan dibuat pada 24 Disember 2021.

 

Pada EGM baru-baru ini, pemegang saham Syarikat turut meluluskan cadangan untuk membenarkan penerbitan bonus 67.5 juta waran berasaskan satu (1) waran bagi setiap empat (4) saham biasa sedia ada di dalam Optimax, dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditetapkan dan diumumkan kemudian. Pemegang saham turut meluluskan penubuhan skim opsyen saham kakitangan ("ESOS") melibatkan sehingga 20% jumlah bilangan saham diterbitkan Syarikat pada bila-bila masa semasa tempoh ESOS untuk pengarah dan kakitangan yang layak serta subsidiari yang tidak dorman.

 

Di samping itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Optimax, Tan Sri (Dr.) Tan Boon Hock pada 21 November 2021 telah dianugerahkan doktor kehormat (PhD) di dalam Kejuruteraan Elektrik oleh Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

 

“Tan Sri Dr. Tan Boon Hock, merupakan suri teladan bagi pasukan di Optimax untuk menimba ilmu. Menerusi usaha gigihnya memimpin Syarikat, Optimax telah membangun pesat untuk menjadi satu daripada pengendali utama di dalam industri pakar mata di Malaysia. Kami percaya beliau akan terus memainkan peranan penting di dalam memacu kejayaan Optimax ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang,” kata Sandy.

 

optimax
Tan Sri (Dr.) Tan Boon Hock )dua dari kiri) dianugerahkan doktor kehormat (PhD) oleh Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pada 21 November lalu. Turut hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Puan Sri Lim dan anak, William Tan serta Sandy Tan dan Michelle Tan, CFO Optimax.​​​​​

 

Optimax merupakan syarikat pegangan pelaburan, dan menerusi subsidiarinya (Kumpulan), ia menyediakan terutamanya perkhidmatan pakar mata menerusi serangkaian 13 pusat pakai mata di Malaysia.

 

Pusat pakar mata itu temrasuk satu (1) hospital pakar dan 12 pusat jagaan ambulatori di Malaysia. Setakat 24 November 2021, Kumpulan memiliki 19 pakar bedah untuk melakukan pelbagai perkhidmatan pakar mata daripada diagnosis sehingga rawatan termasuk prosedu pembedahan dan perubatan. Pakar-pakar bedah ini disokong oleh pasukan tenaga profesional seramai 44 optometris untuk melakukan pemeriksaan mata.

 

Kumpulan menawarkan pilihan luas rawatan berkaitan kesulitan mata dan penglihatan atau kerosakan disebabkan refraktif, katarak, glaukoma, macular degeneration, diabetik retinopathy dan penyakit atau kepincangan mata yang lain. - DagangNews.com