Orang Asli tidak dipinggirkan dalam projek empangan Nenggiri, kata Takiyuddin | DagangNews Skip to main content

Orang Asli tidak dipinggirkan dalam projek empangan Nenggiri, kata Takiyuddin

Sebelum projek itu dirasmikan 12 Jun lalu, kerajaan telah mengadakan lebih 30 sesi libat urus dengan masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA 14 Jun - Masyarakat Orang Asli yang terjejas di dalam projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang tidak dipinggirkan, sebaliknya mereka diberikan penempatan baharu yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan awam, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan.

 

Menurutnya, mereka juga akan mempunyai pendapatan lebih terjamin menerusi perusahaan kebun getah yang bakal dibangunkan.

 

Katanya, penempatan baharu itu diusahakan kerajaan Kelantan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk jabatan berkaitan berdasarkan keperluan perundangan dan persetujuan penduduk terlibat.

 

"Sebelum projek itu dirasmikan 12 Jun lalu, pihaknya telah mengadakan lebih 30 sesi libat urus dengan masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat.

 

"Kajian penerimaan awam oleh juruperunding, UKM Pakarunding Sdn Bhd pada 2018 menunjukkan tahap penerimaan projek itu oleh penduduk di tiga perkampungan meningkat kepada 80% berbanding 69.5% pada 2015.

 

"Oleh itu, beliau berkata, tiada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaan projek itu buat masa ini," kata beliau, menurut laporan FMT.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Projek hidroelektrik Nenggiri: TNB terima memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan

 

Projek hidroelektrik Nenggiri tawar 2,000 peluang pekerjaan

 

Pada 7 Jun lalu, lebih 100 Orang Asli berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

 

Menerusi memorandum itu, mereka mendakwa projek itu akan menenggelamkan kawasan hutan seluas 5,384 hektar yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang.

 

Selain itu, ia juga didakwa akan menenggelamkan satu daripada jalan utama keluar masuk ke kampung Orang Asli, menyebabkan masa perjalanan tiga jam sebelum ini meningkat kepada lima hingga enam jam. - DagangNews.com