Orang tengah ‘makan duit’, punca IOI terpalit tuduhan buruh paksa - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Orang tengah ‘makan duit’, punca IOI terpalit tuduhan buruh paksa - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Salah satu punca syarikat perladangan, IOI Corporation Berhad (IOI) ‘terpalit’ dengan isu buruh paksa mungkin disebabkan oleh subkontraktor dan/atau orang tengah dari sumber negara pengambilan pekerja asing sering ‘makan duit’ haram.

 

Situasi rangkaian agensi yang rumit ini sering kali disalah erti oleh buruh asing sebagai sebahagian daripada yuran pengambilan pekerja, menurut CGS-CIMB Research. 

 

“Namun, bayaran balik duit-duit haram ini mungkin mendatangkan kesan yang tidak diingini iaitu menggalakkan si pelaku untuk terus menjalankan aktiviti haram sedemikian, di mana dilihat melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

 

“Langkah pencegahan dibangunkan untuk membimbing usaha IOI serta pelbagai pihak kepentingan dalam menangani cabaran buruh yang sistematik oleh sektor minyak sawit di Malaysia dengan menumpukan kepada amalan pengambilan pekerja yang bertanggungjawab terutamanya di Semenanjung Malaysia serta pengesahan (pekerja) terutamanya di Sabah,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Pada 28 Mei lalu, IOI dengan kerjasama perunding kelestarian global, BSR menganjurkan Forum Rundingan Kelestarian (SCF) untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan luar terhadap isu kelestarian yang rumit di mana turut dihadiri oleh CGS-CIMB.

 

Objektif penganjuran itu adalah untuk menentukan jangkaan pihak berkepentingan dan hasil yang munasabah, mengambil kira pertimbangan ke atas keperluan syarikat seperti IOI untuk terus patuh kepada semua perundangan relevan termasuk kawal selia pencegahan rasuah.

 

Tambah CGS-CIMB, antara cadangan yang dibangkitkan dalam forum tersebut adalah membangunkan atau melaksanakan kod tindakan industri yang dipantau oleh badan industri; membangunkan dan melaksanakan strategi serta rangka tindakan sektor untuk melihat bagaimana ini dapat dilakukan dengan mematuhi undang-undang Malaysia; serta membangunkan strategi komunikasi.

 

“Majoriti pekerja di Sabah tanpa dokumen merupakan generasi ketiga atau keempat migran yang telah berakar umbi di dalam komuniti tempatan. Susulan itu, mereka tidak dapat memperoleh dokumen pengenalan dari negara asal mereka dan tidak dapat dinaturalisasi oleh negeri Sabah kerana pertimbangan geopolitik.

 

“Terdapat risiko semua pekerja tanpa dokumen ini terpalit dengan eksploitasi dan penderaan. Kami positif terhadap inisiatif yang diambil oleh IOI untuk menangani isu persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

“Kami fikir kerjasama dengan kerajaan, industri dan pelbagai pihak berkepentingan penting untuk mewujudkan penyelesaian berjangka panjang terhadap isu berkaitan buruh paksa di sektor perladangan,” tambah firma itu lagi. 

 

CGS-CIMB dalam masa sama juga positif terhadap ketelusan IOI mengenai isu buruh di Malaysia dan impak yang tidak diingini daripada pembayaran pemulihan kepada pekerja asing. 

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ saham IOI dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM3.97 sesaham. - DagangNews.com