Oto-BaC bantu MPOB tangani masalah ulat bungkus | DagangNews Skip to main content

Oto-BaC bantu MPOB tangani masalah ulat bungkus

MPOB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH

arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Lembaga Mintak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta sistem pengesanan Oto-BaC untuk menyelesaikan masalah spesies ulat bungkus (Matisa Plana).

Menurut MPOB, sistem pengesanan automatik pertama dunia itu dicipta khusus untuk mengesan haiwan terbabit yang merupakan salah satu spesies utama serangga perosak daun pokok sawit.

“Hasil sawit berkurangan hingga 43% akibat serangan spesies haiwan tersebut.

“Pada 2016, ekonomi turut terjejas sebanyak RM24 juta dalam sektor sawit ekoran serangan ulat bungkus,” jelas MPOB dalam satu kenyataan hari ini.

Sistem teknologi yang diketuai Mohd. Najib Ahmad  itu dilengkapi dengan kamera dan algoritma pembelajaran mendalam.

Berfungsi sebagai pengesanan pergerakan dan analisis warna palsu bagi tujuan mengesan perbezaan larva dan pupa ulat bungkus yang hidup dan mati.

Oto-BaC juga mempu menghitung jumlah larva dan populasi pupa sepelepah serta mengklasifikasikannya kepada tahap larva dan pupa.

Pembangunan inovasi ulung yang mesra pengguna dalam industri sawit itu membantu pengumpulan data masa yang tepat bagi mengesan jumlah ulat bungkus pada daun sawit.

“Dengan penggunaan teknologi ini, tindakan kawalan dapat dirancang dengan tepat di samping mengurangkan kos penggunaan racun perosak bagi ladang sawit.

“Masalah kekurangan tenaga kerja juga dapat diatasi dengan penggunaan alat tersebut,” ujar MPOB.

Tambah MPOB lagi, penggiat industri dan usahawan digalakkan mengkomersialkan teknologi Oto-BaC bagi mengawal jumlah ulat bungkus di ladang sawit.

“Tindakan undang-undang dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 boleh dikenakan kepada pemilik ladang sekiranya tidak mengawal kehadiran haiwan terbabit,” kata MPOB. - DagangNews.com