OutSystems buka pejabat baharu di Malaysia, kedua selepas Bangalore di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

OutSystems buka pejabat baharu di Malaysia, kedua selepas Bangalore di Asia Pasifik

Gambar ANDRÉ HENRIQUES ( WWW.AHPHOTO.PT)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun -  OutSystems mengumumkan pembukaan pejabat baharunya yang kedua di Malaysia hari ini selepas pelancaran pusat penyelidikan dan pembangunan itu di Bangalore, India pada Oktober 2021.

 

Pembukaan pejabat itu adalah sebahagian daripada usaha OutSystems untuk meluaskan jejaknya di rantau Asia Pasifik.

 

Sebagai sebuah pintu masuk untuk menyokong pembangunan perniagaan yang dipercepatkan di rantau ini, pejabat OutSystems Malaysia akan menyediakan sokongan di lapangan untuk pelanggan sedia ada dan baharu merentas sektor seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI), auto, runcit serta Teknologi Maklumat (IT)/Perkhidmatan Didayakan Teknologi Maklumat (ITes).

 

Bertujuan untuk menguatkan lagi pasaran IT negara dengan peningkatan pergantungan perniagaan untuk penyelesaian digital, OutSystems bekerjasama rapat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Naib Presiden Asia Pasifik OutSystems, Mark Weaser berkata, pembukaan pejabat tersebut mendekatkan dengan para klien sambil mereka memainkan peranan penting dalam penutupan jurang pembangun dan menangani keutamaan perniagaan seperti mendigitalkan syarikat-syarikat di Malaysia. 

 

"Kerjasama sedia ada kami dengan MDEC dan MIDA merupakan sebuah permulaan yang hebat dan kami berharap untuk memperkasakan perniagaan dan membekalkan mereka dengan akses lancar kepada teknologi-teknologi ini.

 

"Kami berharap untuk terus menyemarakkan transformasi digital melalui kod rendah berprestasi tinggi dengan memperkasakan syarikat untuk membangunkan aplikasi serius yang boleh memberi impak di dunia serta memupuk generasi baharu penuh dengan bakat teknologi," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

outsystems
Mark Weaser

 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman pula berkata, mereka mengalu-alukan kemasukan OutSystems ke Malaysia untuk mengembangkan operasinya dalam pelaburan digital dan menantikan hubungan kukuh antara OutSystems dan akademia untuk menyalurkan graduan yang sesuai dengan industri tersebut ke dalam ekosistem. 

 

"Ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menarik pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025.  Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan satu lagi pemegang kepentingan utama untuk merealisasikan pendigitalan dan aspirasi inovasi seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDigital). 

 

"Kami sentiasa mengalu-alukan pelaburan seperti ini untuk memecah sempadan baharu dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia. Matlamat akhir adalah untuk menggiatkan semula landskap pelaburan negara, menjana peluang pekerjaan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi untuk penduduk tempatan, dan mengukuhkan daya saing negara," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, digitalisasi PKS di Malaysia adalah penting untuk memastikan bahawa tulang belakang ekonomi negara dapat bertahan, berkembang maju dan bersaing dengan seluruh dunia. 

 

“Selain itu, pejabat baharu OutSystems di sini ialah bukti kepada keyakinan berterusan para pelabur terhadap ekosistem digital Malaysia yang teguh. Kami berharap dapat bekerjasama dengan OutSystems dan rakan kongsi lain di seluruh sektor swasta dan awam untuk terus memupuk ekonomi digital yang progresif, inklusif dan inovatif," katanya. - DagangNews.com