Pahang 'hadiahkan' RM1,000 kepada penjawat awam | DagangNews Skip to main content

Pahang 'hadiahkan' RM1,000 kepada penjawat awam

Wan Rosdy Wan Ismail

 Wan Rosdy Wan Ismail 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Seramai 8,000 orang penjawat awam Pahang bakal menerima pemberian bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 menerusi pengumuman Belanjawan 2021 negeri itu yang bertemakan 'Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama'.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan khas itu diberi tanpa pengecualian gred dan akan dibayar sebelum 16 Januari 2021.

"Bantuan khas kewangan RM1,000 kepada semua 8,000 penjawat awam Pahang tanpa pengecualian gred yang dibayar sebelum 16 Jan 2021 adalah sebagai penghargaan kepada usaha mereka membantu pentadbiran kerajaan negeri. 

"Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju memotong gaji 10% untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana Negeri selama tiga bulan mulai bulan ini dan berharap langkah sama diambil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang termasuk pembangkang.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan sumbangan one-off sebanyak RM750 seorang kepada 1,032 imam sebagai menghargai sumbangan mereka selain kadar bantuan am kerajaan negeri dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM300 ketika ini, yang melibatkan 3,014 penerima," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini, lapor BERNAMA.

Belanjawan 2021 negeri Pahang yang dibentangkan itu merupakan belanjawan lebihan ke-18 negeri sejak 1992.

Belanjawan berkenaan menyediakan peruntukan RM795.466 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM201.915 juta bagi perbelanjaan pembangunan, manakala kutipan hasil negeri dianggarkan sebanyak RM800.798 juta. 

Kutipan hasil 2021 juga dijangka meningkat sebanyak 7.6% berbanding tahun ini, diperoleh daripada hasil tanah sebanyak RM452.285 juta, RM165.495 juta (perhutanan), RM15.250 juta (air), RM94.2 juta (Geran Kerajaan Persekutuan) dan RM73.568 juta (lain-lain hasil).

Jelasnya, tumpuan Belanjawan 2021 ialah menyeimbangkan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat agar dapat mengekalkan pendapatan dan meneruskan kehidupan dalam situasi pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang 2021 (BPP) dengan bantuan secara one-off sebanyak RM250 seorang kepada 2,054 warga emas berusia 80 tahun ke atas, 33,973 Orang Kelainan Upaya (OKU), 888 bilal dan 889 siak, 1,594 peserta e-Kasih miskin tegar dan 301 Tok Batin. 

"Seramai 24,000 kanak-kanak yang bakal memasuki tahun satu tahun depan juga akan menerima sumbangan one-off RM100, selain elaun bulanan 350 orang guru al-Quran dan Fardu Ain Asrama yang berjumlah RM800 dinaikkan kepada RM1,000," tambahnya lagi. - DagangNews.com