Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 6 August 2022

Pahlawan Silam: Penderhaka atau Penyelamat Bangsa?

 

 

 

melaka
Melaka gugur ke tangan Portugis 1511
Alah Sultan Mahmud Sultan berdaulat
Datang Belanda yang tidak berhajat
Kemudian British mengambil tempat
Seribu lapan belas dua puluh empat
Bumi Melayu masih dihujani rahmat

 

Bagi ramai di antara kita, Melaka adalah kenangan pemerintahan Kesultanan Melayu  Agung, yang akhirnya jatuh kalah pada pemerintahan Barat.

 

Nostalgia Melaka seolah-olahnya semua telah berakhir selepas 1511. Anak muda walaupun diajar Sejarah tidak kenal dan tidak ambil peduli apa yang berlaku selepas Portugis menakluk Melaka.

 

Namun hakikatnya, kerajaan Melayu lain terus rancak mendirikan kerajaan baru seperti Perak dan Johor.  Kerajaan Melayu dari Acheh dan  Kerajaan Johor cuba merampas semula Melaka.

 

Adakah kerana Dunia Melayu antara kerajaan terkaya dengan khazanah seperti emas dan timah? Lebih menyerlah, Kesultanan Melayu mempunyai  adab tertib, keilmuan tinggi seperti ilmu kapal, ilmu tib dan ilmu bedil, budaya menulis kesusasteraan memukau dunia.

 

Di bulan kemerdekaan ini, mari kita menyingkap warisan lama yang dapat memberi semangat pada anak Melayu zaman ini.

 

1. Minggu pertama – Penderhaka atau Penyelamat Bangsa

2. Minggu kedua - Ilmu Tersirat dalam Aksara

3. Minggu ketiga - Keindahan Dunia Melayu

4. Minggu keempat – Menggenggam Bara Dunia Melayu

 

DOL SAID: WIRA KALAHKAN BRITISH

Naning merupakan kubu kuat adat istiadat Melayu, tradisi dan pemerintahan tempatan.  Dato 'Abdul Said bin Omar, atau Dol Said, adalah Penghulu ke sembilan Naning, berasal dari suku Semelenggang. Pahlawan ini dilatih silat sejak kecil.  Dol Said mewarisi tanggungjawab sebagai Penghulu Naning pada 1799 ketika beliau baru berusia 26 tahun.

 

Di bawah Perjanjian Belanda-Inggeris 1824, Belanda menyerahkan Melaka kepada British.  Dengan begitu mudah, British segera mendakwa tanah jajahan baru. Antaranya, mereka mengatakan Naning adalah sebahagian daripada Melaka.  Oleh itu, British mengarahkan Naning supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di Melaka. 

 

dol said
DOL SAID

 

Dol Said lantang menjawab, "Kami rakyat bebas!"

 

British menjawab:

Kau bayarlah cukai pertanian

Sepersepuluh hasil lumayan

Jika ingin hidup dengan aman

Bayar 4500 dolar setiap bulan

 

Tidak lama kemudian, British memperkenalkan pula peraturan untuk menyekat pengaruh Dol Said.  British memberi amaran kepada Dol Said supaya tidak menyelesaikan kes jenayah di Naning.  Walau bagaimanapun, British tahu bahawa masalah bakal melanda kerana  Dol Said merupakan seorang penghulu yang berkarisma. 

 

 Dol Said mengatur bantuan daripada Seri Meranti, Sungai Ujong, Johol dan Muar.  “Hari ini, Naning.  Esok, British akan menjarah seluruh Tanah Melayu,”  katanya.

 

Pada tahun 1831, Kapten British Wyllie telah dihantar untuk memimpin 150 orang untuk menyerang Naning.  Namun mereka dikejutkan dengan taktik perang gerila Dol Said dan lonjakan bantuan ketenteraan daripada sekutu sekeliling.  British, kuasa besar dunia, telah dikalahkan oleh sekumpulan pembesar Melayu.

 

 Pada tahun berikutnya, British mempunyai 1200 tentera kali ini diketuai oleh Kolonel Herbert - mereka menawan Taboh dan membakar rumah di perkampungan Naning. 

 

Sekutu terdahulu tidak kunjung tiba dan Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti sebelum menyerah diri, dan tamatlah  perang.  Adakah ini pembelotan di antara kaum Melayu sendiri? Atau angkara British?

 

Dol Said meninggal dunia pada tahun 1849 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning bersebelahan Masjid Dato' Dol Said.  Atas semangat juang dan kehebatannya dalam memenangi Perang Naning Pertama, Dol Said dikenali sebagai wira sejati Semenanjung Tanah Melayu sehingga hari ini.

 

DATO' MAHARAJA LELA: NYAHKAN BIRCH

Siapakah Dato Maharajalela?

 

Nama sebenarnya diceritakan orang lama adalah Pandak Lam, seorang pembesar kelapan negeri Perak kubu sejarah dengan kehebatan panglima dan pembesar Perak seperti Tun Saban, Megat Terawis dan yang paling terunggul, Tok Temong.

 

JWW Birch
               JWW BIRCH

 

Maka tidak mengejutkan Dato Maharaja Lela ini anak Perak yang berpegang teguh pada adat dan adab, kepada sumpah dan janji, kepada maruah diri.

 

Berasal dari keturunan Daeng Selili, Dato Maharaja Lela diangkat sebagai mufti dengan kuasa bertanggungjawab atas keadilan dan keamanan dan boleh memancung tanpa bertanya.

 

Sultan Abdullah pula didesak pada tahun 1875 menandatangani perisytiharan penyerahan kuasa kepada British di mana kuasa mentadbir negeri diserah kepada Residen yang berkuasa di atas undang-undang, cukai dan soal pembesar negeri.

 

Pembesar Melayu semakin memberontak.

 

Dato Maharajalela bersama-sama Dato Bahaman Pahlawan Pahang sama dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Dato Sagor dan Ngah Kadin   merancang dan membuat pakatan untuk membunuh Residen British pertama di Perak J.W.W. Birch dengan  restu oleh Sultan Abdullah.

 

Atas kesepakatan itu, Birch telah dibunuh oleh pembesar Melayu namun  Dato Maharaja Lela didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch. Lalu, Dato Maharaja Lela hilang nyawa digantung British di Taiping Perak.

 

Raja Abdullah dibuang negeri ke Seychelles bersama pembesar Perak yang lain iaitu Orang Besar Larut, Ngah Ibrahim, Dato Laksamana Mohamed Amin dan Dato Syahbandar Kadek bin Mohamed. Rombongan ini turut disertai oleh kaum keluarga dan orang suruhan mereka semasa dalam buangan di Seychelles.

 

Dato Maharaja Lela disebut sepanjang zaman

Adakah dia pendekar sejati dan pahlawan

Atau penderhaka disebut-sebut orang jajahan

Dato Maharaja Lela diingat sepanjang zaman

 

RENTAP: AGI IDUP AGI NGELABAN

Rentap merupakan pahlawan Iban yang menentang British di Sarawak dilahirkan pada tahun 1800. Rentap merupakan pemimpin orang Iban di Sungai Skrang dan Sungai Saribas.

 

rentap

 

Nama asal Rentap ialah Libau yang bermaksud ‘penggoncang dunia’. Beliau juga digelar ‘Raja Darat’.

 

Rentap menentang pemerintahan keluarga Brooke kerana Brooke menganggap orang Iban di Sungai Skrang sebagai lanun. Brooke menghapuskan penempatan Iban di sini dan ini  membuat Rentap naik berang lalu ia menyerang kubu James Brooke di Nanga Skrang. James Brooke terkejut kerana Rentap Berjaya mengalahkan para pegawainya dan seorang pegawai Allan Lee terbunuh. Nama Rentap menjadi begitu tersohor di kalangan kaum Iban.

 

Namun, James Brooke menawan kubu Rentap di Sungai Lang dan membakar perkampungan Rentap yang kini dipanggil Raja Ulu. Berkali-kali Tuan Muda Charles Brooke cuba untuk menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok tapi gagal.

 

Kubunya kukuh. Jiwanya utuh. Semangatnya tidak sekali-kali jatuh.

 

 ‘Bawalah semua meriam kamu dari Eropah, kami tidak takut kepada kamu orang Eropah’

 

brooke
                   JAMES BROOKE

 

Tetapi akhirnya, James Brooke menggunakan meriam ‘Bujang Sadok’ untuk menentang Rentap dibalas Rentap menggunakan meriam ‘Bujang Timbang’.

 

Dalam peperangan, Rentap undur sebentar mengatur strategi tapi akhirnya meninggal dunia.

 

Dan hilanglah pendekar Sarawak yang tidak pernah dikalahkan British itu…

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags