Pakej rangsangan lain menyusul jika PKP 2.0 dilanjut | DagangNews Skip to main content

Pakej rangsangan lain menyusul jika PKP 2.0 dilanjut

Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Kerajaan dijangka akan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan lain dalam tempoh suku pertama 2021 sekiranya sekatan dan kawalan pergerakan dilanjutkan.

 

Fitch Solutions berkata, mendepani keadaan tersebut, kerajaan dijangka akan meningkatkan lagi had hutang negara dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang.

 

Jelas Fitch Solutions, langkah itu adalah untuk membiayai lebih banyak pakej rangsangan demi menyokong perkembangan ekonomi.

 

"Kami yakin bahawa langkah sekatan dan kawalan pergerakan akan dilanjutkan.

 

"Sesungguhnya, sekatan dan kawalan pergerakan pada suku kedua 2020 berlangsung hampir satu suku tahun sebelum wabak dibendung, dan ia (penularan) tidak sepantas gelombang ketiga ketika ini dengan kes harian melebihi 4,000 pada 16 Januari.

 

"Kerajaan mungkin perlu memperkenalkan lebih banyak rangsangan, secepatnya suku pertama 2021 berikutan sekatan dan kawalan pergerakan dilanjutkan," jelas nota kajian itu seperti dilapor Berita Harian.

 

Dalam nota kajian yang sama, Fitch Solutions memberitahu, pihaknya yakin bahawa Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion tidak akan menjadi pusingan terakhir bagi rangsangan fiskal tahun ini.

 

Sebaliknya, pelaksanaan Permai adalah sebagai langkah awal untuk mengekang impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan selama dua minggu.

 

Pakej rangsangan itu sejajar dengan pandangan Fitch Solutions agar kerajaan melaksanakan pakej rangsangan baharu untuk mengatasi kesan langkah sekatan dan kawalan pergerakan baharu yang dikenakan.

 

Memandangkan Permai hanya membabitkan kira-kira 1.1% saja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kesannya mungkin tidak ketara.

 

Permai turut memberi kesan negatif terhadap unjuran defisit fiskal 2021 Fitch Solutions iaitu 5.5% daripada KDNK. - DagangNews.com