Pameran maya #MyAPEC2020 tarik lebih 6,000 pengunjung | DagangNews Skip to main content

Pameran maya #MyAPEC2020 tarik lebih 6,000 pengunjung

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pameran Maya #MyAPEC2020 telah menarik lebih 6,000 pengunjung berdaftar di platform dalam talian dengan tempoh kurang dari dua bulan sejak ia bermula sebagai pameran Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang pertama seumpamanya, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 

Agensi itu berkata pertukaran format pameran daripada fizikal kepada secara dalam talian sepenuhnya merupakan tindak balas langsung pihaknya kepada digitalisasi pesat di seluruh dunia, didorong oleh sekatan dan garis panduan penjarakan sosial yang ditetapkan berikutan pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata dalam usaha untuk berjaya menyesuaikan dengan normal baharu, syarikat Malaysia digesa menerima guna teknologi dan menjalankan perniagaan secara digital.

 

Wan Latiff Wan Musa
                                                     Wan Latiff Wan Musa

 

“Inisiatif MATRADE menganjurkan Pameran Maya #MyAPEC2020 bukan hanya memberi peluang perniagaan kepada syarikat dari Malaysia dan ekonomi APEC lain menerusi interaksi dengan pembeli asing malah berperanan sebagai platform untuk mereka menyesuaikan dengan interaksi maya,” katanya dalam kenyataan.

 

Sejak dilancarkan pada 1 September lalu, lebih 300 pembeli dari 51 ekonomi telah mendaftar di platform itu, dengan Malaysia, Australia, Myanmar, Indonesia dan Jepun menjadi lima negara teratas.

 

Pameran #MyAPEC2020 kini menempatkan lebih 300 syarikat merangkumi syarikat Malaysia dan antarabangsa dari ekonomi APEC.

 

MATRADE berkata, syarikat-syarikat ini mempromosikan produk dan perkhidmatan daripada lapan sektor yang disasarkan iaitu penjagaan kesihatan; teknologi dan tenaga hijau; perkhidmatan profesional dan perniagaan; bahan binaan; pengangkutan dan logistik; gaya hidup; teknologi; selain makanan dan minuman inovatif serta agro makanan.

 

Platform pameran berasaskan web itu merangkumi ciri-ciri yang mewujudkan persekitaran perniagaan bertumpuan seperti pembentangan idea perniagaan - dengan 32 sesi pembentangan telah dijalankan, mengetengahkan syarikat daripada semua sektor yang disasarkan, menurutnya.

 

Pengunjung pula diberi peluang untuk menghubungi syarikat berkenaan melalui kemudahan komunikasi masa nyata semasa sesi tersebut.

 

Selain itu, terdapat 34 pertemuan perniagaan kepada perniagaan (B2B) maya diatur setakat ini di antara pempamer dengan pembeli tempatan dari Malaysia serta dengan pembeli asing dari Amerika Syarikat, Jepun, China, Australia, Arab Saudi dan Turki.

 

MATRADE berkata pameran ini juga menganjurkan webinar, dengan menyiarkan empat pembentangan langsung mengenai topik utama dengan ciri sembang untuk peserta menyertai sesi soal jawab.

 

Wan Latiff berkata memandangkan sekatan perjalanan dilaksanakan di seluruh dunia sekali gus mengehadkan pertemuan secara langsung, MATRADE ingin menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia memanfaatkan platform pertemuan B2B menerusi Pameran Maya #MyAPEC2020.

 

“Melalui inisiatif ini, pengeksport Malaysia akan dijalinkan dengan pembeli antarabangsa yang berminat untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan dari Malaysia, diuruskan oleh 46 pejabat luar negara MATRADE yang berada di seluruh dunia,” katanya.

 

MATRADE akan terus menganjurkan pameran #MyAPEC2020 sehingga 31 Disember 2020 yang berperanan sebagai platform kerjasama perniagaan bagi syarikat dari ekonomi APEC untuk membentuk jaringan antara mereka serta dengan komuniti perniagaan dunia. - DagangNews.com