Pan Malaysia kuasai 51% ekuiti dalam A&W | DagangNews Skip to main content

Pan Malaysia kuasai 51% ekuiti dalam A&W

KUALA LUMPUR 24 Sept - Pan Malaysia Corp Bhd memeterai perjanjian jual dan beli bersama Inter Mark Resources Sdn Bhd (IMR) untuk mengambil alih 31.62 juta saham, atau 51% kepentingan dalam A&W (M) Sdn Bhd (A&W Malaysia).

 

Pan Malaysia berkata, cadangan pembelian itu, yang bernilai RM21.04 juta, akan dilaksanakan menerusi gabungan tunai berjumlah RM11.57 juta dan pemindahan 63.11 juta sahamnya pada harga 15 sen sesaham, berjumlah RM9.47 juta.

 

Harga pemindahan 15 sen sesaham itu mewakili premium 25% kepada purata wajaran harga pasaran lima hari iaitu 12 sen.

 

Pan Malaysia berkata, penjualan akan dimuktamadkan dengan syarat IMR mendapat kebenaran daripada A Great American Brand International Pte Ltd (AGABI) untuk menamatkan perjanjian francais antarabangsa dan perjanjian pembangunan bertarikh 1 Julai 2019 yang dibuat antara kedua-dua pihak.

 

Katanya, ia juga bersyarat dengan pelaksanaan perjanjian francais antarabangsa serta perjanjian pembangunan baharu antara AGABI dan A&W Malaysia, selain IMR menguruskan perniagaan A&W Malaysia mengikut syarat yang dipersetujui antara IMR, A&W Malaysia dan Pan Malaysia.

 

"Pihak-pihak terbabit dijangka memuktamadkan urus niaga dalam tempoh enam bulan daripada tarikh perjanjian jual dan beli atau pada tarikh IMR dan Pan Malaysia bersetuju secara bersama.

 

"Sebaik pengambilalihan dimuktamadkan, Pan Malaysia akan memegang 51% kepentingan dalam A&W Malaysia manakala IMR akan memegang baki 49%s kepentingan ekuiti dalam rangkaian restoran makanan segera itu.

 

"Selain itu, A&W Malaysia akan menjadi pemaju induk dan francaisi eksklusif francais A&W di Malaysia," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lapor Berita Harian.

 

Pan Malaysia berkata, pertumbuhan sektor perkhidmatan makanan dijangka pulih dengan kenaikan jumlah urus niaga ketika ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19.

 

"Pesanan 'take-away' (bawa balik) dan makan di luar yang semakin meningkat akan mendorong pertumbuhan di Malaysia pada beberapa tahun akan datang.

 

"Berdasarkan kepada kenangan terhadap jenama nostalgia ini dalam kalangan 'baby boomer' dan pengiktirafan jenamanya daripada golongan muda, perbezaan produk melalui minuman ikoniknya, 'root beer' dan makanan (coney, curly fries) serta memberi lebih fokus kepada kemudahan, kos, pilihan, konsistensi dan kebersihan, A&W Malaysia dijangka akan memperoleh bahagian pasaran QSR yang berkembang di Malaysia," katanya. - DagangNews.com