Pandemik COVID-19 jejaskan prestasi Sime Darby pada Q3, untung bersih susut 18.67% | DagangNews Skip to main content

Pandemik COVID-19 jejaskan prestasi Sime Darby pada Q3, untung bersih susut 18.67%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - Untung bersih Sime Darby Bhd. susut 18.67% pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 (Q3) kepada RM244 juta, berbanding RM300 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kumpulan merekodkan keuntungan yang lebih rendah pada suku berkenaan kerana perniagaan terasnya bagi segmen perindustrian dan permotoran di China dan Australasia terjejas akibat gangguan berkaitan pandemik COVID-19, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini menyaksikan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perindustrian di Australasia yang mencatatkan kos operasi yang lebih tinggi. 

 

Prestasi pada suku berkenaan juga terjejas akibat kelembapan dalam aktiviti pembinaan di China,  kekangan rantaian bekalan dan konflik ketenteraan di Ukraine

 

Pendapatan bagi tempoh suku ketiga itu turut susut 4.1% kepada RM10.57 bilion berbanding RM11.02 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, untung bersih kumpulan menurun kepada RM825 juta daripada RM1.21 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan ketiadaan keuntungan RM272 juta daripada pelupusan Tesco Malaysia, bayaran balik cukai perkhidmatan dan barangan (GST) Singapura dan pembalikan bersih rosot nilai RM33 juta dengan penjualan pegangan dalam Eastern & Oriental Bhd.

 

Tidak termasuk keuntungan sekali sahaja, keuntungan bersih untuk tempoh 9 bulan adalah lebih rendah terutamanya disebabkan pengurangan sumbangan daripada segmen perindustrian.

 

Segmen tersebut terus terjejas dengan penguncupan ketara dalam volum industri peralatan berat di China, dan margin operasi yang lebih rendah di Australasia.

 

Sehubungan itu, pendapatan kumpulan bagi tempoh berkenaan juga susut 4.1% kepada RM31.78 bilion berbanding RM33.14 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pada tahap keuntungan teras suku ketiga itu, kumpulan masih mampu memberikan hasil yang berdaya tahan meskipun berdepan keadaan pasaran yang semakin sukar.

 

Katanya, operasi Sime Darby Motors di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik setelah mencatat keuntungan lebih 3 kali ganda daripada margin kenderaan dan keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi pemasangan.

 

"Pembukaan semula ekonomi dan kenaikan harga komoditi akan membantu mengekalkan perniagaan kami pada suku akan datang," katanya.

 

Menurut beliau, di sebalik berdepan cabaran dalam persekitaran perniagaan hari ini, Sime Darby terus disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh, kedudukan dalam geografi yang luas dan jenama yang mantap.

 

"Kami kekal komited kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kami dan akan terus memanfaatkan peluang untuk merasionalkan portfolio dan menggandakan usaha bagi mengukuhkan perniagaan teras dalam perindustrian dan permotoran," tambahnya. - DagangNews.com