Panik mereda, pelabur beli semula saham Malaysia | DagangNews Skip to main content

Panik mereda, pelabur beli semula saham Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Penjualan besar-besaran yang dilakukan oleh pelabur ekoran panik selepas pengumuman sekatan pergerakan dan Proklamasi Darurat menyebabkan pasaran saham Malaysia terumbang-ambing. 

 

Namun, perasaan panik yang mula mereda menyuntikkan sedikit keyakinan untuk para pelabur kembali membeli saham-saham di Bursa Malaysia pada awal dagangan pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI melonjak 5.64 mata kepada 1,617.68, daripada paras yang ditutup semalam, 1,612.04. 

 

Prestasi menaik indeks itu diteruskan sehingga 9.05 pagi apabila mencecah paras 1,628.05, menjadikan jumlah lonjakan keseluruhan melebihi 14 mata. 

 

Paras FBM KLCI ini dijangka terus stabil pada dagangan hari ini selepas penjualan panik semalam, ramal Rakuten Trade Research. 

 

“Memandangkan terdapat beberapa daripada kita yang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kami menjangkakan aktiviti dagangan akan bertambah baik terutamanya melibatkan saham permodalan kecil. 

 

“Indeks penanda aras itu dijangka didagangkan lebih tinggi dan berpotensi menguji paras 1,620. 

 

“Sementara itu, potongan bekalan mendorong harga minyak mentah mencecah paras lebih tinggi dengan Brent kini berlegar melebihi AS$56 setong,” jelas nota kajian Rakuten Trade hari ini.

 

Bermula 12 malam tadi, sekatan jalan raya telah mula dilakukan di enam buah negeri yang dikenakan semula PKP sehingga 26 Januari depan. 

 

Baca : Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

 

Baca : PKP 2.0: Operasi kedai makan, gerai hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus

 

Selepas sehari PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) diumumkan, negara dikejutkan pula dengan Proklamasi Darurat di mana Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021. 

 

Baca : Apa anda perlu tahu tentang Proklamasi Darurat? 

 

Di peringkat global, ekuiti-ekuiti Amerika Syarikat (AS) mendatar memandangkan pelabur masih lagi menantikan suntikan rangsangan baharu ketika terdapatnya pergolakan politik. 

 

Jelas Rakuten Trade, DJI Average melonjak 60 mata untuk ditutup sekitar paras 31,070. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan terus tidak menentu,” tambah firma penyelidik itu. - DagangNews.com