Pantas, Funding Societies lancar pembiayaan invois automatik pra-kelulusan untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Pantas, Funding Societies lancar pembiayaan invois automatik pra-kelulusan untuk PKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Syarikat pemula, Pantas bekerjasama dengan platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar Asia Tenggara, Funding Societies melancarkan kemudahan pembiayaan invois automatik pra-kelulusan pertama dalam industri untuk PKS di Malaysia. 

 

Kerjasama berkenaan menyasarkan untuk menyediakan jaringan keselamatan kewangan yang mudah diakses untuk PKS. Memanfaatkan data dan algoritma proprietari Pantas dan Funding Societies, PKS secara automatik akan memperoleh pra-kelulusan untuk kemudahan pembiayaan invois melalui perisian e-invois percuma Pantas.

 

Penyelesaian ini akan mengurangkan masa yang diambil untuk proses keseluruhan pembiayaan invois (daripada kemudahan kelulusan sehingga kemasukan wang ke akaun bank) sepantas dua hari bekerja, berbanding mengambil kira-kira beberapa minggu berdasarkan standard industri, selain menawarkan kadar faedah yang kompetitif. 

 

PKS juga akan memperoleh had pra-kelulusan yang lebih tinggi dengan melakukan lebih banyak transaksi di Pantas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, sebagai peneraju ekonomi digital Malaysia, MDEC memuji kerjasama antara Pantas dan Funding Societies.

 

"Pelancaran penyelesaian digital yang inovatif dan menerajui industri ini akan terbukti bermanfaat kepada PKS, yang merupakan tunjang utama ekonomi Malaysia. Pembiayaan pra-kelulusan ini akan memacu penggunaan digital dalam kalangan PKS dan melonjakkan Malaysia sebagai negara digital terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

mdec
Mahadhir Aziz

 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantas, Max Lee pula berkata, pembiayaan pra-kelulusan akan menyediakan PKS dengan akses yang lancar kepada modal kerja dan mengurangkan kekangan aliran tunai. 

 

“Setiap perniagaan memerlukan jaringan keselamatan pembiayaan ketika berdepan dengan cabaran. Perniagaan yang memanfaatkan perisian percuma Pantas untuk mendigitalkan proses bil, invois dan pembayaran, secara automatik akan memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan pra-pelancaran ini. 

 

 

pantas
Max Lee

 

 

"Kerjasama dengan Funding Societies akan membolehkan kami untuk mengembangkan capaian kepada PKS yang belum mengadaptasi perkhidmatan berkenaan, bagi membantu mereka memperoleh manfaat yang lebih besar dengan penyelesaian ini,” katanya.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, pengurusan aliran tunai merupakan perkara penting kepada perniagaan bagi memastikannya mencatatkan keuntungan dan mampan. 

 

 

funding
Wong Kah Meng

 

 

"Sejak diperkenalkan, produk pembiayaan invois kami telah membantu PKS untuk mengoptimumkan aliran tunai, menangani kebimbangan invois yang telah lama tertunggak, akses kepada kecairan dan menambah baik prestasi modal kerja. 

 

"Kami amat berbesar hati menerusi kerjasama dengan Pantas, yang akan menambah baik pilihan dan kepantasan dalam penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan kepada PKS yang belum menikmatinya,” katanya.


 
Pantas juga telah bekerjasama dengan MDEC untuk menjadi sebahagian daripada program SME Digital Accelerator. Program berkenaan dibangunkan untuk membantu PKS Malaysia dengan menyediakan pendekatan berstruktur untuk mengadaptasi pendigitalan. - DagangNews.com