Pappajack sasar kumpul RM50.1 juta menerusi IPO untuk buka cawangan kedai pajak gadai baharu | DagangNews Skip to main content

Pappajack sasar kumpul RM50.1 juta menerusi IPO untuk buka cawangan kedai pajak gadai baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Operator pajak gadai, Pappajack Berhad menyasarkan untuk mengumpul modal sebanyak RM50.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraian di ACE Market bermula hari ini bagi tujuan pengembangan cawangan kedai pajak gadai di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pappajack Berhad, Lim Boon Hua berkata, daripada jumlah itu, sebnyak RM19.22 juta akan digunakan bagi pembukaan cawangan baharu manakala RM27.08 juta akan digunakan sebagai modal tunai untuk cawangan sedia ada manakala baki RM3.8 juta akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Beliau berkata, pihaknya berusaha untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu di seluruh Semenanjung Malaysia dan ia akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat pada masa akan datang. 

 

Katanya, sistem pajak gadai memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan menerusi penyediaan pinjaman mikro bagi jangka masa singkat bagi mereka yang memerlukan wang tunai segera.

 

"Orang ramai melihat pajak gadai sebagai perniagaan yang tidak menarik kerana tidak memahami peranan pemegang pajak gadai dalam membantu orang yang mengalami masalah kewangan dan di Pappajack kami menawarkan perkhidmatan pantas serta bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pappajack hari ini melancarkan prospektus syarikat sempena penyenaraiannya di ACE Market, Bursa Malaysia Securities Berhad dan Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

 

Syarikat pajak gadai itu disenaraikan dengan harga IPO RM0.30 dengan 160 juta saham dengan 33.4 juta saham disediakan untuk orang awam dan 6.68 juta saham adalah untuk mereka yang berkelayakan.

 

Sejumlah 83.5 juta saham adalah untuk penempatan persendirian bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala baki 43.42 juta saham adalah untuk penempatan persendirian bagi pelabur terpilih.

 

Perniagaan pajak gadai Pappajack adalah di bawah seliaan Kementerian Permuahan dan Kerajaa Tempatan (KPKT) menerusi Akta Pajak Gadai 1972 yang membenarkan aktiviti pinjaman mikro jangka pendek kepada pelanggan yang mencagarkan emas dan jam tangan mewah.

 

Syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu memiliki rangkaian 25 cawangan sejak mula dibuka pada 2014 merangkumi Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Perak. - DagangNews.com