Parkson tarik diri daripada usaha sama beli tanah di China | DagangNews Skip to main content

Parkson tarik diri daripada usaha sama beli tanah di China

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Parkson Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Parkson Retail Group Ltd (PRGL) telah menarik diri daripada langkah usaha sama (JV) untuk membeli sebidang tanah di China. 

 

Sebagai rekod, PRGL telah memeterai JV pada tahun lalu dengan Hongxiang Real Estate Co Ltd untuk mendapatkan plot tanah di Jiaxing, China, bagi projek pembangunan hartanah yang berpotensi.

 

Katanya, PRGL menarik diri daripada JV itu berikutan syarikat terbabit tidak dapat mengenal pasti plot tanah yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan komersial dan runcit.

 

PRGL yang disenaraikan di Hong Kong, melalui anak syarikat milik penuh kumpulan, Shanghai Shengrui Commercial Management Co Ltd, memeterai perjanjian dengan Hongxiang Real Estate untuk mewujudkan JV, Jiaxing Gold Lion Real Estate Development Co Ltd, pada Oktober 2020.

 

"Keputusan itu tidak akan memberi impak yang ketara ke atas pendapatan Parkson bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan aset bersih Parkson berdasarkan penyata kedudukan kewangan syarikat disatukan yang telah diaudit sehingga 30 Jun 2020.

 

"Berdasarkan perjanjian rangka kerja penarikan, pihak-pihak berkenaan bersetuju bahawa pinjaman pemegang saham terkumpul berjumlah 330.75 juta renminbi akan dibayar balik oleh Jiaxing Gold Lion Real Estate kepada Jiaxing Lion Retail Management pada atau sebelum 31 Oktober 2021," katanya seperti dilaporkan Bernama

 

Susulan daripada keputusan tersebut, anak syarikat tidak langsung PRGL, Parkson Investment Holdings Co. Ltd. perlu memindahkan jualan saham kepada Shanghai Yuehuanshu bernilai sekitar 0.26 juta renminbi yang perlu dilakukan dalam tempoh 10 hari selepas menandatangani perjanjian penarikan diri itu.

 

Dalam pada itu, Jiaxing Gold Lion Real Estate juga perlu membuat bayaran yuran perkhidmatan perundingan bernilai 25 juta renminbi kepada Parkson Investment. - DagangNews.com