Pasar Segar Terkawal catat jualan hingga RM23.61 juta | DagangNews Skip to main content

Pasar Segar Terkawal catat jualan hingga RM23.61 juta

 Ahmad Hamzah ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Pusat Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi Tinggi di Institut Latihan FAMA Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

Ahmad Hamzah ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Pusat Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi Tinggi di Institut Latihan FAMA Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pasar Segar Terkawal (PST) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan keseluruhan mencecah RM23.61 juta bagi tempoh hingga 19 Jun 2021.

 

Jumlah jualan PST terus melonjak berbanding RM18.90 juta bagi tempoh hingga 4 Jun 2021.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pelaksanaan 43 PST di seluruh negara adalah antara pendekatan pihaknya dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan.

 

"Di Negeri Sembilan sebanyak empat outlet yang beroperasi pada ketika ini iaitu di Agrobazaar Sendayan, Pusat Operasi FAMA Seremban, Pasar Tani Kekal Jempol dan Pasar Tani Kekal Paroi," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Pusat Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi Tinggi di Institut Latihan FAMA Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

 

Projek berkenaan diusahakan oleh peserta ladang kontrak MAFI di bawah bimbingan FAMA yang menanam komoditi timun dengan kuantiti polybag berjumlah 1,410 unit melalui kaedah penanaman fertigasi gantung.

 

Melalui penanaman tersebut, anggaran pengeluaran hasil  akan mencecah 11 metrik tan (MT) pada Jun setelah mula menanam pada bulan Mei lalu.

 

Ahmad Hamzah ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin.
Ahmad Hamzah ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin.

 

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan daripada hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

Sehingga kini, sumbangan MAFI Prihatin melalui FAMA telah menyalurkan hampir 20.5 tan metrik yang berbentuk hasilan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

"Lebihan hasil pertanian yang terdapat melalui sumbangan MAFI Prihatin ini juga secara tidak langsung dapat membantu para petani yang mengalami masalah lebihan pengeluaran dan pemasaran ketika tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ dan pada masa yang sama dapat membantu golongan yang terkesan," jelasnya lagi. - DagangNews.com