Pasaran ditutup tinggi, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Pasaran ditutup tinggi, ringgit mengukuh

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Pasaran tempatan petang ini ditutup tinggi, melonjak 9.97 mata kepada 1,599.66 mata. 

Indeks FBM KLCI itu yang menokok 0.63% bergerak dalam jajaran 1,587.06 hingga 1,602.23 mata hari ini dengan 16.28 bilion saham diniagakan bernilai RM6.72 bilion. 

Ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 776 berbanding 533 manakala 388 kaunter tidak berubah. 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1140/1190 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada RM4.1240/4.1280 pada penutupan Jumaat. 

Pagi tadi, ringgit memulakan dagangan pada RM4.1150/4.1230 berbanding dolar AS disokong oleh Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dimeterai semalam.

Perjanjian RCEP itu dimeterai antara 15 negara yang mengambil bahagian. Negara yang turut serta termasuklah 10 negara anggota ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Dalam nota kajian hari ini, MIDF Research mengunjurkan ringgit akan mencecah RM4.10 berbanding dolar AS akhir tahun ini. 

Ini kerana ringgit meraih keuntungan daripada peningkatan aliran masuk dalam pasaran baharu muncul di rantau ini, akan terus mengukuhkan mata wang itu.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, walaupun ringgit diunjur terus mengukuh, peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia dan negara-negara lain akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi. 

Namun, pengumuman mengenai vaksin COVID-19 minggu lalu yang dibangunkan Pfizer dan dilaporkan mempunyai kadar keberkesanan sehingga 90% seolah-olah memberi harapan kepada pelabur. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan ketika ini sudah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin COVID-19 setelah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu terdapat 11 calon vaksin COVID-19 dalam percubaan klinikal fasa 3 (setakat 13 November).

Menurut Reuters, pasaran ekuiti Asia mencecah rekod tinggi memandangkan pelabur mengetepikan kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19 dan pembelian saham, susulan data yang menunjukkan pemulihan di China dan Jepun.  

Penganalisis IG Market yang berpangkalan di Melbourne, Kyle Rodda berkata, perkembangan mengenai vaksin COVID-19 dan risiko yang semakin berkurangan dalam pilihan raya AS, memberi bayangan bahawa masa inilah yang sesuai untuk melabur dalam ekuiti. - DagangNews.com