Pasaran farmaseutikal halal dijangka mencecah AS$134b menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Pasaran farmaseutikal halal dijangka mencecah AS$134b menjelang 2024

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Malaysia perlu mengambil langkah proaktif berterusan dalam menerajui industri farmaseutikal halal di peringkat antarabangsa bagi menambah baik industri penjagaan kesihatan di negara ini. 

Langkah itu sekali gus membantu pengeluar farmaseutikal tempatan untuk menembusi pasaran global yang dianggarkan bakal bernilai AS$134 bilion menjelang 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech), Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, industri berkenaan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

“Piawaian farmaseutikal halal MS2424 pada 2012 yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia, kini semakin mendapat sokongan dan diterima oleh komuniti antarabangsa. Malah, piawaian seterusnya MS2424 pada 2019 telah memperluas skop pensijilan halal untuk menangani peningkatan permintaan dalam ‘biologics’ dan pencarian vaksin halal.

 

leonard
LEONARD ARIFF ABDUL SHATAR ketika program siri webinar Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2020 bertajuk 'Embracing a Halal Pharmaceutical Eco-System’, anjuran HDC dengan kerjasama Duopharma Biotech dan KPJ.

 

“Kedudukan Malaysia dalam menerajui industri farmaseutikal halal telah memudahkan laluan pengeluar tempatan untuk menembusi pasaran global,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika program siri webinar Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2020 bertajuk  'Embracing a Halal Pharmaceutical Eco-System’, anjuran Halal Development Corporation (HDC) dengan kerjasama Duopharma Biotech dan KPJ Healthcare Berhad (KPJ).

Webinar yang disertai hampir 500 peserta itu menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan Kumpulan KPJ, Datuk Dr. Zaki; Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS),Amrahi Buang; Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahar; dan Pakar Kesihatan Global Senior Bank Pembangunan Islam, Dr. Ammar Abdo Ahmed.

 

WEBINAR
DARI kiri, Amrahi Buang, Hairol Ariffein Sahari dan Leonard Ariff Abdul Shatar ketika program siri webinar Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2020 bertajuk 'Embracing a Halal Pharmaceutical Eco-System’, anjuran HDC dengan kerjasama Duopharma Biotech dan KPJ.

 

Tambah Leonard Ariff, ekosistem farmaseutikal halal di Malaysia telah diperkukuh dengan Garis Panduan Umum Farmaseutikal Halal MS: 2424, yang merangkumi seluruh rantaian bekalan dari proses perkilangan hingga pemasaran.

Dalam pada itu, Hairol Ariffein berkata, nilai eksport farmaseutikal halal mencatatkan pertumbuhan yang stabil, iaitu RM401 juta pada tahun 2019 berbanding dengan RM395 juta pada tahun 2018. 

“Jumlah eksport halal untuk tahun 2019 adalah RM40.2 bilion termasuk perubatan halal yang merangkumi suplemen, produk generik dan produk berasaskan ramuan tradisional.

"Destinasi eksport utama 2019 adalah Amerika Syarikat, Singapura, Nigeria, Hong Kong dan China. Peningkatan permintaan ini secara langsung memberi peluang kepada pemain industri untuk menambah baik halal sebagai nilai tambahan produk farmaseutikal," katanya. - DagangNews.com