Pasaran gelap rosakkan ekonomi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pasaran gelap rosakkan ekonomi Malaysia

petaling

KUALA LUMPUR 2 Julai – Dalam laporan penyiasatan terbaharu yang mendedahkan bagaimana barangan palsu di Malaysia membahayakan nyawa, Channel News Asia melaporkan bahawa negara ini adalah `pasaran terbesar’ bagi arak palsu.

Seorang ahli majlis perbandaran di Pulau Pinang yang telah mengetuai pergerakan membanteras alkohol yang dijual secara haram sejak enam tahun lalu, menyatakan bahawa ramai berasakan jenama tulen adalah sangat mahal. Kerana itu mereka beralih kepada arak haram yang 70% hingga 80% lebih murah.

Malaysia juga berada di kedudukan nombor satu di dunia bagi jualan rokok tidak sah (59%), disusuli Brazil (50%), menurut laporan Oxford Economics berjudul The Economics of the Illicit Tobacco Trade in Malaysia (Jun 2019). 

Bagaimanapun, angka tersebut kini telah meningkat kepada 65%, bermakna 7 daripada 10 rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok tidak sah atau diseludup. Sebanyak 12.2 juta batang rokok seludup dianggarkan dijual dan dihisap di negara ini pada 2019 sahaja.

Ini merupakan nisbah yang membimbangkan, memandangkan statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan bahawa 1 di dalam setiap 10 produk rokok dan tembakau yang diguna di seluruh dunia dianggarkan sebagai diseludup4, dengan sejumlah 132 bilion rokok seludup dihisap di lebih 57 negara.

Namun, Malaysia kekal sebagai syurga pembelian yang amat terkenal, terutama bagi mereka yang mencari barangan ‘mewah berjenama’. Kedai-kedai menjual barang tiruan begitu banyak di negara ini, sama ada di kedai-kedai tepi jalan mahupun kedai yang membayar cukai serta di pusat beli-belah dan platform atas talian yang popular.

Sememangnya ia adalah membimbangkan kerana trend menunjukkan pengeluar barangan palsu kini meluaskan keluaran mereka kepada barangan pengguna.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melaporkan bahawa ia merangkumi barangan keperluan harian seperti bateri, sos makanan, ubat gigi, cecair pembersih, makanan tin, madu, minuman berperisa coklat, susu tepung bayi, ubat-ubat dan kosmetik palsu selain minyak motor dan enjin, alat-alat komponen kenderaan dan pesawat.

Dengan barangan makanan dan produk perubatan tiruan itu ditampal pula dengan label palsu kononnya keluaran syarikat terkemuka, bahayanya ialah kandungan barangan berkenaan tidak mungkin sama seperti yang didakwanya. Memakan produk palsu sedemikian boleh mengakibatkan keracunan makanan, alergi kulit, kegagalan organ badan dan malah, kematian.

“Dengan sentiasa menambah baik kualiti pembungkusan dan pelabelan oleh pihak pemalsu, ia juga menyulitkan bagi pengguna dan pegawai penguatkuasa untuk menentukan mana barangan palsu dengan yang tulen,’’ kata FOMCA.

barang tiruan

Impak barangan palsu ke atas ekonomi Malaysia

Barangan palsu adalah sebahagian daripada ekonomi gelap atau pasaran gelap yang dianggarkan bernilai RM300 bilion setahun, mewakili kira-kira 21% keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Kerajaan meraih perolehan bukan sahaja daripada pungutan cukai pendapatan tetapi juga dari sumber tidak langsung seperti duti eksais di mana cukai dikenakan bagi penggunaan atau atas pengimportan barangan.

Perdagangan haram membabitkan barangan seludup seperti bahan-bahan terlarang iaitu dadah, alkohol, rokok selain barangan pengguna tiruan, yang menyelinap daripada saluran sah perniagaan.

Pankaj Kumar, seorang kolumnis akhbar dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan sebuah dana insurans, berkata, Berdasarkan perolehan cukai kerajaan kira-kira RM180.6 bilion pada 2019 berbanding nilai nominal saiz KDNK sebanyak  RM1,510.7 bilion, pungutan cukai efektif kerajaan adalah kira-kira 12% daripada nominal KDNK. Di sini, kita boleh melihat bahawa kerajaan kerugian sebanyak RM36 bilion dari segi perolehan cukai sahaja disebabkan ketirisan-ketirisan ini.”

Walaupun beliau merasakan adalah mustahil untuk membasmi sepenuhnya pasaran gelap, impaknya masih boleh dikurangkan kepada separuh, menerusi pelaksanaan tiga langkah utama.

“Kita ada undang-undang yang diperlukan bagi menangani isu ini. Kita hanya perlu meratifikasi mana yang relevan bagi memastikan ia dikemas kini seiring dengan perjanjian serantau dan antarabangsa yang telah kita meterai, kerana kita perlu secara kolektif memerangi ancaman yang semakin memburuk terhadap ekonomi negara,” ujar beliau.

“Yang kedua, adalah mengenai penguatkuasaan. Kita perlu meningkatkan usaha-usaha bagi memastikan keberkesanan jika kita benar-benar serius mahu mengurangkan insiden-insiden perdagangan haram dan penyeludupan barangan,’’ tambah beliau.

“Yang terakhir, berkaitan hukuman. Sementara memang wujud undang-undang dan jika dikuatkuasakan, badan pemantau rasuah dan jenayah mendesak hukuman ditambah kerana denda-denda sedia ada tidak cukup untuk mencegah pihak lain daripada terus melakukan tindakan-tindakan haram.”

FOMCA juga memberi amaran bahawa produk palsu merosakkan reputasi negara di persada antarabangsa.

Perniagaan sah manakah yang mahu melabur di negara ini di mana mereka dipaksa untuk mematuhi peraturan tempatan, menggaji bakat tempatan, melaksanakan pemindahan pengetahuan dan membayar cukai besar sementara mempertaruhkan angka jualan dan keuntungan mereka ketika pemain haram meragut bahagian pasaran sah mereka?

Mengapa wujud permintaan bagi produk palsu atau pasaran gelap

Harga. Selagi harganya lebih murah berbanding yang tulen, akan sentiasa wujud permintaan.

Penjual barangan haram, penyeludup dan peruncit tahu semua ini. Selagi mereka boleh mengimport atau mengeluarkan barangan tiruan `berjenama’ seperti jam tangan, beg tangan, minyak wangi atau komponen kereta pada harga lebih murah, maka margin akan lebih menarik.

Di pihak pengguna, terdapat mereka yang aktif mencari barangan murah yang tidak mempedulikan asal-usul produk, asalkan dapat rasa `syok’ memakainya. Mereka hanya mahu mencapai status gaya hidup tertentu yang diwakili oleh jenama tersebut, pada harga sekelumit daripada harga barangan asli.

Terdapat pula mereka yang tidak tahu membezakan antara barangan palsu dengan tulen disebabkan barangan “tiruan asli’ dibuat dengan begitu baik.

Tiruan

 

Faktor permintaan & bekalan memacu pasaran gelap dan prospek pasca Covid-19

Berkaitan permintaan, Pankaj menyarankan advokasi.

“Ia adalah mengenai mendidik orang ramai bahawa apabila mereka membeli barangan tiruan, mereka sebenarnya secara tidak langsung menggalakkan jenayah dan pertumbuhan perdagangan haram,” kata beliau.

“Selain itu, adalah penting untuk menggambarkan bagaimana di dalam sesetengah kes, sama ada produk alkohol, rokok, minyak wangi atau perubatan, formula pembuatan barangan palsu adalah berbeza daripada yang asli dan lazimnya membawa kesan buruk kepada kesihatan dan keselamatan pengguna.”

“Berkaitan pembekalan, ia adalah segala-galanya mengenai penguatkuasaan dan memotong akses kepada rantaian pembekalan,’’ katanya lagi.

Wabak Covid-19 berterusan memperlihatkan pengguna dan perniagaan merudum. Akibatnya, permintaan bagi barangan palsu dan diseludup meningkat terutamanya dari sudut harga murah. Ini menjejaskan lebih banyak barangan kegunaan harian seperti arak dan rokok, dan penggunaan kurang seperti jam tangan atau beg tangan yang lebih tahan lama.

“Jika ekonomi mengalami kemelesatan dan pendapatan menjadi lebih terus terjejas, kita hampir pasti bahawa permintaan terhadap barangan pasaran gelap akan meningkat. Oleh itu, kita benar-benar perlukan penguatkuasaan bersama daripada pihak berkuasa berkaitan,’’ kata Pankaj.

Di samping meningkatkan penguatkuasaan di sempadan negara dan bekerjasama dengan organisasi pemantauan serantau dan antarabangsa, kita perlu menambah operasi pemeriksaan dari kedai ke kedai untuk membanteras barangan seludup atau palsu. Bagi mereka yang didapati terlibat di dalam perdagangan haram, pihak berkuasa berkaitan hendaklah merampas barangan tersebut dan segera mendakwa pedagang yang terbabit.

Dengan terputusnya pembekalan atau dikurangkan, pengguna tidak ada pilihan selain kembali ke pasaran sah untuk menikmati barangan yang mereka inginkan.

Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan Dadah dan Penyeludupan Barangan Haram tahun ini, disambut pada 26 Jun lalu, bertema – Lebih Berpengetahuan Untuk Penjagaan Yang Lebih, adalah kena pada masanya. Rakyat diingatkan keperluan untuk bekerja rapat dengan rakan-rakan sejawatan, bagi menghentikan perluasan ke seluruh pasaran gelap kerana ia berurusan dengan rantaian pembekalan antarabangsa. Dana yang dapat diraih boleh disalurkan kembali kepada kerajaan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan pendidikan kesihatan orang awam, pasca Covid-19. – DagangNews.com