Skip to main content

Pasaran hartanah sekunder 2021 kekal mencabar

Rumah terpakai

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pasaran hartanah sekunder atau subsale dijangka terus melalui fasa yang mencabar sepanjang tahun 2021.

 

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, Premendran Pathmanathan berkata, jangkaan itu bagaimanapun mampu pulih dengan pelancaran vaksin COVID-19 serta bantuan rangsangan yang diumumkan kerajaan.

 

"2021 kekal menjadi satu lagi tahun mencabar untuk segmen hartanah sekunder, selepas permintaan terhadapnya merosot tahun lalu.

 

"Apa pun, kami percaya pasaran hartanah akan pulih selepas vaksin COVID-19 diperkenalkan. Satu lagi harapan adalah pengecualian duti setem oleh kerajaan untuk pasaran sekunder di bawah Belanjawan 2021.

 

"Di samping itu, pengurangan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membantu meringankan pembayaran semula pinjaman perumahan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Insentif yang diumumkan kerajaan menerusi pakej rangsangan menawarkan lebih banyak peluang kepada pencari hartanah untuk meneroka pasaran hartanah kediaman sekunder.

 

Pasaran hartanah sekunder juga banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara seperti tekanan yang berlaku pada tahun lalu akibat PKP.

 

Menyentuh berkaitan laporan iProperty.com.my 2020 Property Demand Analytics, beliau memberitahu, permintaan domestik bagi hartanah sekunder tahun lalu susut 1.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Permintaan terhadap kediaman bertingkat tinggi mencatatkan penurunan seiring dengan harga, manakala permintaan terhadap rumah teres kekal positif dengan pertumbuhan modal 2.6%.

 

Dalam aspek ibu negeri pula, hanya Shah Alam dan Seremban merekodkan permintaan positif dengan rekod masing-masing pada 1.7% dan 0.9%.

 

Permintaan terhadap Pusat Bandaraya Kuala Lumpur pula menguncup sebanyak 8.9%. - DagangNews.com