Pasaran kembali di bawah 1,500 mata, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Pasaran kembali di bawah 1,500 mata, ringgit mengukuh

 


ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Sentimen politik masih membelenggu pasaran tempatan terutama menjelang Belanjawan 2021 minggu hadapan, menyaksikan indeks utama FBM KLCI kembali jatuh di bawah paras 1,500 mata. 

Petang ini, indeks itu susut 5.15 mata kepada 1,495.20 mata dengan 4.66 bilion saham diniagakan bernilai RM3.44 bilion.

Ia menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 737 berbanding 291 manakala 439 kaunter tidak berubah. 

Indeks saham Malaysia meneruskan trend penurunan, jatuh 0.4% apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memperoleh pengisytiharan darurat, Ahad lalu. 

Bagaimanapun, petang ini, ringgit mengukuh kepada RM4.1540/4.1580 didorong prestasi eksport yang kembali pulih apabila merekodkan paras tertinggi pada September sejak Oktober 2018. 

Apa yang membimbangkan kini adalah terdapat kemungkinan kerajaan berdepan rintangan yang mencabar untuk memulihkan ekonomi sekiranya Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan sebulat suara apabila dibentangkan di Parlimen, 6 November ini. 

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli-ahli Parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Baginda menegaskan Belanjawan 2021 amat penting buat kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak itu daripada terus merebak.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada ahli-ahli Parlimen demi kemakmuran bersama.

Menurut Reuters, penganalisis ING berkata, kini semua pihak tertumpu pada Belanjawan 2021 yang akan menguji sejauh mana keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin. 

"Kami juga melihat situasi politik akan terus memberi tekanan kepada ringgit, justeru, kami menyemak semula unjuran akhir tahun kepada RM4.18 berbanding dolar AS," katanya. 

Namun, jelasnya, dengan prestasi lebihan dagangan yang lebih tinggi, didorong oleh import yang lemah, ia dilihat akan terus menyokong mata wang tempatan di tengah-tengah kekalutan politik negara yang masih tidak menentu. 

Selain faktor domestik, pasaran ekuiti Asia juga semakin lemah ekoran peningkatan kes COVID-19 di AS, Rusia, Perancis dan beberapa negara lain yang menyebabkan sekatan di negara-negara Eropah serta kebimbangan terhadap pilihan raya presiden AS. - DagangNews.com