Pasaran modal 2020 berkembang 7% kepada RM3.4 trilion | DagangNews Skip to main content

Pasaran modal 2020 berkembang 7% kepada RM3.4 trilion

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Pasaran modal Malaysia berjaya mempamerkan ketahanan apabila berkembang  sebanyak 7% kepada RM3.4 trilion berbanding RM3.2 trilion pada 2019.

 

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, perkara itu sekali gus membuktikan pasaran modal negara terus bertahan dan memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi domestik serta menggerakkan tabungan meskipun berdepan situasi mencabar pada 2020.

 

"Kedua-dua pasaran ekuiti dan bon tempatan pulih daripada paras rendah ketika pandemik, mengatasi pasaran serantau.

 

"Jumlah dana yang dikumpulkan melalui pasaran ekuiti dan bon korporat adalah sebanyak RM115 bilion, disokong oleh peningkatan sebanyak 76% dalam penerbitan ekuiti sekunder.

 

"Pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) turut mencatat momentum pertumbuhan berterusan, meningkat sebanyak 43% daripada tahun lalu, mengumpul sebanyak RM631 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

 

Syed Zaid Albar
Syed Zaid Albar.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2020 yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pengawasan Pasaran & Korporat SC, Kamarudin Hashim; Ketua Pegawai Pengawalseliaan SC, Foo Lee Mei dan Timbalan Ketua Eksekutif SC, Zainal Izlan Zainal Abidin.

 

Tambah beliau, keseluruhan aset bawah pengurusan (AUM) menyaksikan pertumbuhan bingkas sebanyak 10% kepada RM905.5 bilion pada 2020.

 

Pertumbuhan tersebut secara tidak langsung mencerminkan minat pelabur yang lebih kukuh terhadap pasaran modal.

 

Katanya, nilai aset bersih (NAV) industri unit amanah dan skim persaraan swasta pula masing-masing meningkat kepada RM519.5 bilion dan RM4.8 bilion. 

 

Selain itu, pertumbuhan AUM dicapai walaupun terdapat tekanan penebusan ketika kemuncak penjualan balik saham di pasaran.

 

"Dengan langkah vaksinasi dipercepatkan di peringkat global dan domestik, kami optimistik namun berhati-hati bahawa tahun 2021 akan menyaksikan pemulihan peringkat pascapandemik yang akan mengembalikan negara ke landasan yang betul, walaupun pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur dan tidak sekata di seluruh sektor dan negara-negara.

 

"Pada 2020, SC telah menyusun semula keutamaannya untuk membolehkan pengawal selia tersebut dan peserta pasaran modal menangani dan bertindak terhadap kesan pandemik di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan pasaran," katanya lagi.

 

Pada peringkat awal pandemik, beliau memberitahu, SC memperkenalkan pelbagai kelonggaran kawal selia dan langkah-langkah pelepasan untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan memudahkan operasi pasaran yang teratur termasuk pelanjutan tempoh bagi membuat pemfailan, pengecualian dan pelepasan fi.

 

Susulan itu, sebanyak 389 PLC mendapat manfaat daripada pelbagai pengecualian fi penyenaraian, sementara 47 PLC mengumumkan pelaksanaan pemgumpulan dana di bawah mandat yang dipertingkat dan umum. 

 

Katanya, sebanyak 544 mesyuarat agung juga telah dijalankan secara hibrid dan maya sepenuhnya.

 

"Tahun lalu juga menyaksikan penyelesaian dua penyiasatan utama yang dijalankan oleh SC berhubung 1MDB.

 

"Deloitte PLT telah dikenakan denda maksimum sebanyak RM2.2 juta di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 kerana kegagalannya melaporkan dengan segera kepada SC mengenai penyelewengan material.

 

"Sementara itu, Goldman Sachs Group Inc membuat penyelesaian global sebanyak AS$3.9 bilion dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan semua tindakan kawal selia semasa dan yang sedang menunggu keputusan terhadap kumpulan entiti Goldman Sachs antara lain, kerana peranan mereka dalam penerbitan bon berkaitan 1MDB," ujar beliau lagi. - DagangNews.com