Skip to main content

Pasaran pun 'tak kisah PKP' lagi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Seolah-olah sudah dapat menjangkakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, pasaran petang ini mengakhiri dagangan dengan 0.09% lebih tinggi hari ini.

 

Indeks utama FBM KLCI menokok 14.09 mata untuk ditutup kepada 1,580.49 mata dengan 6.63 bilion saham diniagakan bernilai RM5.12 bilion. 

 

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 671 berbanding 501 manakala 435 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran sebahagiannya sudah mengambil kira keputusan kerajaan melanjutkan PKP setelah melihat jangkitan melebihi 5,000 kes sehari. 

 

"Tetapi seperti yang kita tahu, banyak perniagaan dibenarkan beroperasi seperti pembinaan, pengilangan, pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, pertanian dan perladangan. 

 

"Jadi, impaknya juga kurang teruk berbanding PKP kali pertama tahun lalu," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Dalam sidang akhbar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keamanan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara sehingga 18 Februari dengan SOP lebih ketat kecuali Sarawak dibuat selepas penelitian Kementerian Kesihatan  yang melihat peningkatan jumlah kes positif COVID-19.

 

Dalam tempoh itu, kerajaan juga tidak membenarkan segala kegiatan rentas negeri dan aktiviti sosial.

 

Adam Mohamed berkata, prestasi pasaran tempatan hari ini menjejaki pasaran serantau yang turut mencatatkan kenaikan berikutnya meningkatnya keyakinan terhadap rangsangan ekonomi AS. 

 

"Selain itu, khabar angin yang digembar-gemburkan mengenai logam perak juga menyaksikan pelabur mengaut keuntungan selepas ia mencecah paras tertinggi 8 tahun dalam sesi sebelumnya didorong pelabur runcit, menyebabkan harga jatuh 2% pada Selasa," katanya. 

 

Dalam kalangan 30 komponen FBM KLCI, saham Top Glove muncul kaunter paling untuk selepas ditutup 4.6% lebih tinggi. 

 

Langkah oleh pelabur runcit selepas apa yang menimpa Game Stop di Amerika Syarikat (AS) mungkin membuka jalan di pasaran, katanya. 

 

Mengikut sektor, indeks pengangkutan dan logistik meningkat sehingga 1.8%.

 

Bagi pasaran kewangan, jelas beliau, ringgit susut 0.1% berbanding dolar AS memandangkan lanjutan PKP mungkin memberi kesan kepada ekonomi.

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0440/0480 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada RM4.0400/0450 pada penutupan Jumaat. - DagangNews.com